Penalti lewa minit Bergson selamatkan JDT

Penalti minit ke-88 Bergson selamatkan JDT

PENJAGA gol Sri Pahang, Mamadou Samassa gagal menyelamatkan tendangan Bergson Da Silva untuk gol pertama JDT dalam Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara liga lapan kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir diaibkan oleh Sri Pahang di laman sendiri, namun diselamatkan oleh sepakan penalti dua minit sebelum tamat permainan untuk mengikat lawan 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Aksi pada babak pertama antara Harimau Selatan menentang skuad Tok Gajah dilihat seimbang setelah kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan bagi memburu gol pembukaan.

JDT lebih garang mengasak ke kubu lawan menerusi percubaan yang dilakukan Bergson Da Silva dan Arif Aiman Hanapi. namun tidak berjaya mendapatkan sentuhan penyudah yang baik.

Gol pertama hadir apabila Fernando Forestieri merampas bola dari kawalan pertahanan dan bertukar hantaran dengan Corbin Ong sebelum membuat hantaran lambung kepada Bergson bagi meledak gol pada minit ke-17

BERGSON Da Silva dikawal ketat dua pertahanan Sri Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Forestieri terus bernafsu untuk memburu gol, namun percubaannya gagal menewaskan penjaga gol, Mamadou Samassa.

Skuad bimbingan Christophe Gamel berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-38 menerusi serangan balas diterajui Mahmoud Saleem Za’tara yang bijak menguis kepada Saiful Jamaluddin untuk melepaskan rembatan lerek menewaskan Farizal Marlias.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan tuan rumah menggandakan asakan untuk kembali di hadapan menerusi percubaan Nazmi Faiz dari luar kotak penalti namun rembatan itu melewati palang gol Sri Pahang.

Ketika pasukan bimbingan Benjamin Mora gigih berusaha mencari gol kedua, Sri Pahang pula yang menambah jaringan menerusi sepakan penalti setelah Za’tara dijatuhkan oleh Shahrul Saad.

PEMAIN Sri Pahang meraikan gol kedua pada pertemuan menentang JDT. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Penalti dihadiahkan pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli dimanfaatkan sebaiknya oleh Manuel Hidalgo untuk meletakkan pasukan di hadapan menewaskan Farizal yang merebahkan badan ke sudut yang tepat pada minit ke-42.

Sebelum tamat babak pertama, Nazmi sekali lagi menguji ketangkasan Samassa namun gagal menewaskan penjaga gol import yang melayangkan badan bagi menafikan percubaan tersebut.

Bersambung babak kedua, JDT bagaikan harimau yang cedera semakin ganas mengasak benteng pertahanan lawan dengan kemasukan Moussa Sidibe menyuntik semangat pasukan yang ghairah memburu gol penyamaan.

Selesa dengan kedudukan di hadapan, Sri Pahang dilihat lebih banyak mempamer corak permainan bertahan di kubu sendiri dan hanya menunggu peluang untuk membuat serang balas.

Mora dilihat terdesak untuk mengelak pasukannya rebah di gelanggang sendiri membawa masuk Ramadhan Saifullah menggantikan pemain pertahanan, Corbin Ong bagi menambah bisa serangan.

Ketika perlawanan dilihat berpihak kepada Sri Pahang, JDT pula dihadiahkan sepakan penalti oleh Ahmad Zuhaidi setelah ternampak tolakan oleh Hasnul Zaim Zafri ketika bersaing dengan Bergson walaupun pengadil berada jauh dari kotak penalti.

Biarpun Samassa cuba mengganggu emosi Bergson, pemain kelahiran Brazil itu kelihatan tenang menyudahkan sepakan penalti bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-88.

Usaha pasukan tuan rumah untuk memburu gol kemenangan tidak membuahkan hasil dan hanya mampu berpuas hati dengan mencuri satu mata pada perlawanan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.