Pemain muda mampu menyinar di Hanoi

Pemain muda mampu menyinar di Hanoi

Muhammad Afifuddin Razali yakin pemain muda yang dibawa ke Vietnam dalam Sukan SEA kali ini tidak akan mengecewakan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kapten skuad sepak takraw kebangsaan, Muhammad Afifuddin Razali tidak bimbang dengan barisan pemain muda yang diturunkan Malaysia pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam kerana yakin ‘juniornya’ cukup berani untuk berdepan siapapun lawan yang bakal mereka temui nanti.

Apit kanan berusia 30 tahun itu berkata, usia yang masih muda tidak bererti mereka akan mudah kecut perut apabila berdepan pasukan yang kuat seperti Thailand.

“Saya sendiri ada maklum pada mereka, kita jangan sesekali gentar apabila berjumpa pasukan yang lebih kuat. Jangan mudah menyerah kalah, berjuanglah sehingga ke hujung aksi.

“Apa yang penting jangan sesekali kita menyerah kalah, walaupun sedang ketinggalan. Saya yakin pemain-pemain muda ini sudah bersedia untuk ke Vietnam, rata-rata mereka sangat bersemangat untuk beraksi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut pemain ATM Guardians itu, sewaktu dalam gelanggang, apa sahaja boleh berlaku sekalipun berdepan lawan yang kuat seperti Thailand.

Jelasnya, walau siapapun yang bakal Malaysia temui dalam gelanggang, dia dan rakan sepasukan berjanji akan bermain berhabis-habisan.

BARISAN pemain yang menggalas cabaran Malaysia dalam Sukan SEA 2021.

“Seperti Vietnam, kami hanya pernah jumpa satu regu mereka, dua lagi regu tuan rumah kita masih tidak ketahui latar belakang mereka.

“Saya sedar bertemu tuan rumah yang mendapat sokongan padu penyokong mereka bukanlah sesuatu yang mudah, tapi kami tak gentar. Apa yang penting kena fokus dan jangan terlalu hormat lawan,” tegasnya.

Afifuddin juga amat berharap rakan sepasukannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 semasa di Vietnam nanti dan kawal pergerakan masing-masing agar terhindar daripada virus tersebut.

Acara sepak takraw Sukan SEA 2021 akan membuka tirai di Gimnasium Hoang Mai esok dalam saingan regu lelaki dan wanita. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya