LONDON: Pemotongan gaji 40 hingga 60 peratus menanti pemain serta pegawai Norwich City selepas pasukan itu tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan ekoran kekalahan 2-0 kepada Aston Villa kelmarin.
Kedudukan Dean Smith sebagai pengurus masih selamat, namun seperti semua pemain, dia juga perlu menerima pemotongan gaji, manakala separuh daripada skuad bakal dirombak.
Dengan 23 kekalahan yang dicatatkan skuad Kenari musim ini, masa depan Pengarah Sukan Kelab, Stuart Webber turut terancam.
Biarpun Webber telah merubah kelab itu selama lima tahun dan membantu membina semula Norwich daripada krisis kewangan, dia telah menjadi sasaran utama penyokong.
Norwich antara kelab yang berbelanja besar musim ini dengan membawa masuk 11 pemain baharu yang menelan kos 60 juta pound (RM329 juta).
Begitupun hasil yang diraih amat mengecewakan dan kelab itu tersingkir dari Liga Perdana buat kali keenam dengan menghuni tangga tercorot liga setelah mengalami lima kekalahan berturut-turut.
Norwich akan kembali ke Kejuaraan selepas hanya satu musim di liga teratas selepas gol Ollie Watkins dan Danny Ings melakar nasib mereka apabila pengurus Dean Smith kembali ke Villa Park.
“Saya kecewa dengan keputusan kami, namun ia mungkin adil kerana kami tidak cukup bagus musim ini.
“Sukar untuk saya mengulas apa-apa sekarang. Emosi sangat hebat, kami memberikan yang terbaik tetapi ia tidak mencukupi dan ia adalah kisah musim kami yang malang,” kata kapten Norwich, Grant Hanley. – AGENSI