TIADA siapa menduga Nor Sarah Adi mampu meraih pingat emas dalam lompat bergalah wanita pada Sukan SEA Vietnam 2021, namun di sebalik kejayaan tersebut tiada siapa tahu penderitaan serta pengorbanan yang telah dilalui atlet muda dari Pahang itu.
Pengsan semasa menjalani latihan dan dikejarkan ke Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan lima hari sebelum berlepas ke Hanoi antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Mendapat nasihat daripada doktor yang merawatnya agar melupakan Sukan SEA ke-31 demi kesihatan diri nyata menyentap perasaan dan semangat juangnya anak keempat daripada tujuh beradik itu.
Menceritakan detik-detik sukar dilaluinya, perasaan sakit di bahagian pinggang mula dirasainya ketika menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).
“Pinggang saya cedera, tidak boleh berdiri semasa menjalani latihan di MSN, tidak boleh jalan dan berdiri lama ini, duduk dan baring, sakit pinggang amat ketara.
“Saya cuba gagahkan juga dan akhirnya pengsan sebelum mendapat rawatan di Hospital Serdang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sarah yang bakal menginjak usia 22 tahun pada 22 Ogos ini berkata, sebaik sahaja sedar dari pengsan dia hanya membayangkan keadaannya yang tidak dapat menyertai kontinjen Malaysia.
“Hanya boleh baring tegak sahaja, tidak boleh ke kanan mahupun kiri, seolah-olah pinggang sudah patah dan lumpuh, hanya Allah sahaja tahu perasaan saya ketika itu.
“Hasil pemeriksaan x-ray tiada kecederaan serius pada bahagian pinggang, namun nasihat doktor yang merawat agar saya berehat dan melupakan impian beraksi di Hanoi betul-betul menjentik hati saya.
“Berita itu dimaklumkan dua hari sebelum saya dijadualkan berlepas bersama kontinjen negara.
“Perkhabaran tersebut benar-benar menguji emosi saya,” katanya.
Katanya lagi, mengambil pandangan dan nasihat diberikan saya berserah kepada Allah yang menentukan sebaik-baiknya perancang.
“Bagaikan keajaiban berlaku, apabila saya bangun keesokkan harinya segala kesakitan di bahagian pinggang telah hilang dan saya tidak merasai sakit sebagaimana sebelumnya.
“Sebenarnya ayah tidak tahu mengenai sakit yang saya alami kerana saya tidak mahu mengecewakan impiannya serta ahli keluarga.
“Saya tidak pernah tengok ayah begitu bersemangat memberi kata-kata dorongan. Alhamdulillah segala doa serta pengorbanan akhirnya dibalas dengan kejayaan,” kata gadis tinggi lampai itu.














