PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berpendapat, tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan bola sepak dalam kategori gagal dalam Sukan SEA 2021 di Vietnam disebabkan mereka pula tanpa sebarang pingat.
Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar bagaimanapun percaya, prestasi keseluruhan skuad bawah 23 negara pada temasya dwi tahunan itu tidaklah terlalu buruk, sebaliknya faktor nasib memisahkan mereka dengan pingat.

“Saya rasa MSN kata gagal sebab kita tidak dapat pingat, kalau kita dapat pingat gangsa mungkin dia kata tidak gagal.
“Pemain sudah tunjukkan prestasi yang baik dan saya sendiri lihat cuma mungkin daripada segi nasib kita tidak ada dan aspek penyudah perlu dipertajamkan lagi.
“Bagi kami di FAM, ini adalah pendedahan yang baik untuk pemain sebagai persiapan ke Piala Asia B-23. (Pendirian FAM) tidak boleh kata gagal, kalau daripada segi prestasi memang bagus tetapi dalam bola sepak ini yang mustahak adakah kita mampu jaringkan gol atau tidak.
“(Sama ada adil atau tidak rumusan sebagai gagal) memang saya tidak boleh komen kerana sudah pasti MSN ada KPI (petunjuk prestasi utama) dia sendiri. Saya kena tanya MSN berkaitan hal ini kerana tentu mereka ada KPI,” katanya.

Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) gagal membawa pulang pingat selepas tewas pada perebutan tempat ketiga di tangan Indonesia dengan penentuan menerusi sepakan penalti yang memihak Indonesia, 4-3.
Bagaimanapun jika dilihat pencapaian skuad bimbingan Brad Maloney kali ini tidaklah mengecewakan memandangkan Malaysia muncul pasukan tunggal tidak menggunakan pemain lebih umur berbanding negara lain.
Lebih membanggakan pasukan berjaya memberikan saingan kepada pencabar lain yang memiliki tonggak senior malah turut mencemaskan juara bertahan yang juga tuan rumah, Vietnam sebelum kalah 1-0 di separuh akhir.
Jika pencapaian raih pingat diambil kira, ia mungkin bersesuaian namun secara realistik, kehadiran skuad B-23 ke Hanoi kali ini hanya sebagai medan pemanas badan dan mencari keserasian sebelum menghadapi tugasan lebih getir di Piala Asia B-23 di Uzbekistan, bulan depan. – UTUSAN