ALOR SETAR: Selepas dimalukan Selangor dan Sabah sebelum ini, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus gagal menghadirkan kegembiraan buat penyokong setia mereka apabila tewas 3-2 kepada Melaka United di laman sendiri, malam ini.
Kemenangan anak-anak buah Mohd. Asri Ninggal itu terhasil menerusi dua jaringan Ifedayo Olusegun pada minit ke-23 dan waktu kecederaan, selain satu gol oleh tonggak tengah dari Ghana, Emmanuel Oti pada minit ke-77.
Dua gol Kedah pula dijaringkan dua tonggak penyerang, Ronald Ngah Wanja pada minit ke-19 dan Muhammad Syafiq Ahmad di minit ke-36.
Perlawanan berlangsung hambar sejak awal, namun dua serangan dilancarkan pasukan pelawat menerusi Ifedayo dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-15 serta 17, berjaya meningkatkan tempo permainan.

Keghairahan pasukan pelawat melakukan serangan dilihat tidak menggentarkan barisan pemain tuan rumah apabila mereka berjaya membuka jaringan menerusi Ronald Ngah pada minit ke-19.
Gol itu terhasil apabila Ronald Ngah melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti, yang gagal dijangkau penjaga gol Melaka United, Bryan See di sebelah kiri gawang lawan.
Melaka bagaimanapun hanya memerlukan empat minit untuk menyamakan kedudukan setelah Ifedayo membuktikan ketajamannya menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti, bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-23.
KDA FC kemudiannya kembali di depan pada minit ke-36 apabila Muhammad Syafiq melakukan rembatan berkualiti dari luar kotak penalti, menuju ke kanan gawang yang hanya mampu diperhatikan Bryan untuk tuan rumah mendahului 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Melaka United memiliki peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-53 namun rembatan Emmanuel Oti dari dalam kotak penalti melambung tinggi.
Seminit selepas itu, KDA FC hampir menggandakan jaringan apabila tampanan penjaga gol gantian mereka, Norazlan Razali mengenai kepala Ronald Ngah namun bola itu bergolek terlalu perlahan ke gawang lawan hingga membolehkan pemain pertahan Melaka United, Mohd. Akmal Md. Zahir menyelamatkan keadaan.
Minit ke-77, penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim melakukan kesilapan apabila gagal menangkap kemas hantaran lambung salah seorang pemain Melaka United ke dalam kotak penalti KDA FC.
Bola tersebut kemudiannya tiba tepat ke kaki Emmanuel Oti yang tidak melepaskan peluang untuk melakukan rembatan deras bagi menghasilkan gol kedua pasukan pelawat.
Hanya tiga minit berselang, pemain import dari Haiti, Sony Norde mensia-siakan peluang untuk menambah jaringan buat Melaka United apabila bola rembatannya meliar ke kiri gawang tuan rumah, walaupun dia memiliki ruang selesa di dalam kotak penalti untuk melakukan percubaan.
Minit ke-90, rembatan deras Ifedayo sekadar singgah di palang gol KDA FC setelah dia menerima hantaran dari pemain gantian, Mohd. Syukri Baharun di bahagian sayap kanan.
Pemenang anugerah kasut emas bagi dua musim berturut-turut itu bagaimanapun akhirnya berjaya menjaringkan gol kemenangan Melaka United pada masa tambahan apabila menanduk masuk bola hantaran bekas pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha. – UTUSAN ONLINE