PETALING JAYA: Dua hari selepas dimalukan Timor Leste, skuad Malaysia Bawah 23 tahun (B-23) kembali mempamer aksi meyakinkan dengan menumpaskan Filipina B-23 2-0 dalam aksi persahabatan Tier 2 di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi.
Pengendali skuad negara, Brad Maloney hanya mengekalkan ketua pasukan, Nik Akif Syahiran Nik Mat dalam kesebelasan utama berbanding barisan yang diturunkan ketika kalah 1-2, Jumaat lalu.
Bakal memulakan kempen Sukan SEA Vietnam dengan menentang Thailand, Sabtu depan, kemenangan yang diraih pastinya memberi sedikit kelegaan buat Maloney.
Bintang muda Selangor, Faiz Amer Runnizar yang dibawa masuk sebagai pemain gantian sekali lagi mempamer aksi cemerlang.

Faiz yang meledak gol tunggal Malaysia ketika menentang Timor Leste, menjaringkan gol kedua pasukan negara malam ini pada minit ke-65.
Terdahulu Nik Akif Syahiran meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-53.
Selain Thailand, Malaysia turut diundi bersama Singapura, Kemboja dan Laos dalam aksi Kumpulan B pada Sukan SEA Hanoi. – UTUSAN