LONDON: Liverpool mengulangi drama Piala Liga apabila menumpaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti untuk menjulang kejuaraan Piala FA buat kali kelapan di Stadium Wembley, sebentar tadi.
Biarpun mencipta deretan peluang, saling menyerang dan mengharungi 120 minit yang mendebarkan, kedua-dua pasukan buntu untuk meledak gol dan perlawanan berkesudahan 0-0 sehingga tamat masa tambahan.
Seperti yang berlaku dalam perlawanan akhir Piala Liga di venue sama, Februari lalu, sepakan penalti menjadi jalan terakhir untuk menentukan pemenang.
Kostas Tsimikas menyempurnakan sepakan terakhir untuk mengesahkan kemenangan Reds selepas tendangan Mason Mount sebelum itu diselamatkan oleh Alisson Becker untuk Liverpool menang 6-5.

Ini Piala FA pertama buat Liverpool dalam tempoh 16 tahun sejak kali terakhir muncul juara pada 2006, sekali gus meletakkan mereka kekal di landasan memburu empat trofi musim ini.
Jurgen Klopp muncul pengurus paling cemerlang dengan memenangi semua trofi yang ditawarkan, daripada Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris, Piala Dunia Kelab, Piala Super Eropah, Piala FA hinggakan Piala Liga.
Biarpun peluang Liverpool untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana tampak sukar dengan Manchester City mendahului menerusi tiga mata dan memiliki kelebihan gol yang besar ketika saingan berbaki dua perlawanan, namun melayakkan diri ke final dalam semua pertandingan yang disertai adalah pencapaian hebat buat kelab Anfield itu.
Liverpool akan menentang Southampton dan Wolverhampton dalam dua perlawanan terakhir liga, sebelum berdepan Real Madrid pada final Liga Juara-Juara di Paris, 28 Mei ini. – AGENSI