IPOH: Suasana suram menyelubungi sambutan hari raya Aidilfitri lapan pemain kelab Liga M3, Langkawi City.
Ketika umat Islam bergembira meraikan hari lebaran, hari raya mereka penuh dengan kesedihan gara-gara sudah dua bulan tidak menerima gaji.
“Ketibaan hari raya kali ini paling mendukacitakan kerana kami sudah dua bulan tidak menerima gaji iaitu bulan Mac dan April,” kata jurucakap kumpulan itu, Mohamad Firdaus Muhamad kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohamad Firdaus, selain gaji majikan juga tidak mencarum kepada kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pemain.
Firdaus berkata, pemain terbabit ialah Akmal Afizan Ahmad Tajudin, Muhammad Shahrul Akmal Md Adnan, Zainudin Abidin, Akmal Azmi, Muhammad Zulhairi Aiman Mohamad Zainizam, Muhammad Akid Aiman Rosidi dan Syukur Saidin.
Lebih mengecewakan Firdaus ialah pengurusan pasukan memberi surat penamatan kontrak kepada dirinya serta Zainudin Abidin melalui whatsapp.
“Tiada perbincangan langsung antara pemain dengan majikan.
“Tahu-tahu kami menerima Whatsapp mengatakan kami dipecat tanpa persetujuan kami,” katanya