KL City dipaksa mandi peluh sebelum menang

KL City dipaksa mandi peluh sebelum menang

AKSI pemain KL City (merah) ketika menentang Penang FC dalam saingan Liga Super. - IHSAN KL CITY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City (KL City) melonjak ke tangga kelima Liga Super selepas menang tipis ke atas Penang FC  3-2 pada saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Tewas 1-2 ketika melayan kunjungan Sri Pahang FC, Ahad lalu anak didik Bojan Hodak mempamerkan corak permainan menyerang sebaik wisel permainan dibunyikan pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah.

Tuan rumah berpeluang mendahului seawal minit ke-12 namun percubaan Akram Mahinan berjaya dihalang Latiff Suhaimi di atas garisan gol.

Berselang tiga minit kemudian, KL City dihadiahkan sepakan penalti selepas Kevin Koubemba dijatuhkan Fairuz Zakaria namun sepakan Romel Morales berjaya ditampan Khatul Anuar untuk memastikan gawang Penang FC terselamat.

Penang FC juga mempunyai beberapa peluang keemasan menerusi Endrick Dos Santos dan T. Saravanan namun kedua-duanya gagal menewaskan Kevin Ray Mendoza yang kurang diuji.

Tiga minit sebelum tamat babak pertama, J.Partiban berjaya memberikan kelebihan buat KL City apabila mudah menolak masuk selepas keadaan kelam kabut di dalam petak penalti Penang FC untuk kedudukan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, KL City menggandakan asakan dengan menguasai sepenuhnya permainan tetapi pertahanan Penang FC berjaya mengekang segala percubaan berbahaya.

Benteng Penang FC bocor sekali lagi apabila larian solo Paulo Josue berjaya menemui Romel Morales yang tidak dikawal dan beliau mudah menewaskan Khatul untuk gol kedua KL City.

Hasil dari sepakan sudut pada minit ke-77, Zhafri Yahya menjaringkan satu gol menerusi voli yang cukup cantik dari luar kotak penalti untuk memberikan KL City gol ketiga.

Kegembiraan KL City tidak kekal lama apabila Casagrande yang kembali dalam skuad Penang FC berjaya memenangi penalti dan mudah disempurnakan Endrick Dos Santos pada minit ke-80 untuk gol pertama.

Gol itu membangkitkan semangat pemain Penang FC dan akhirnya mereka berjaya merapatkan jurang pada minit ke-85 dengan gol kedua hasil jaringan Hilal El Helwe.

Penang cuba mencari gol penyamaan tetapi KL City ampuh menahan asakan dan akhirnya berjaya memenangi perlawanan sekaligus melonjak ke tangga kelima liga manakala Penang kekal terbawah tanpa sebarang kemenangan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya