Kelab Liga M ada ‘saham’ Malaysia kalah

Kelab Liga M ada ‘saham’ Malaysia kalah

KAPTEN Malaysia B-23, Nik Akif Syahiran Nik Mat (kiri) bersaing dengan pemain Timor Leste dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium UiTM Shah Alam, kelmarin dalam persiapan menghadapi Sukan SEA di Hanoi. – IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keegganan beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) melepaskan pemain lebih awal untuk kem latihan pusat skuad Bawah 23 tahun (B-23) sebagai persediaan ke Sukan SEA Hanoi mula menunjukkan kesan buruk.

Kekalahan memalukan 1-2 kepada Timor Leste dalam aksi persahabatan kelmarin mencetus kebimbangan terhadap kemam­puan negara untuk menghadapi temasya yang membuka tirai Sabtu depan, apatah lagi lawan mereka dianggap ‘pasukan belasahan’.

Bekas pengendali Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah bersimpati dengan jurulatih Malaysia B-23, Brad Maloney yang ‘dihentam’ peminat tempatan sedangkan dia mempunyai masa amat suntuk untuk mempersiapkan pasukan gara-gara keengganan kelab melepaskan pemain.

“Pasukan baru dikumpulkan, sebelum ini mereka berdepan masalah kelab yang enggan lepas pemain. Jadi, mungkin perlawanan persahabatan ini sudah diatur lebih awal. Maka, terhasillah keputusan sebegini.

“Daripada segi persehamanan, mungkin tiada dan akan ambil masa lama untuk dibentuk. Saya percaya rata-rata peminat tidak boleh terima walaupun ia sekadar aksi persahabatan kerana kedudukan Timor Leste jauh lebih rendah.

AZRAAI KHOR ABDULLAH

“Seandainya pasukan kita dapat berkumpul seperti dijadualkan, pasti kita akan mendapat hasil yang baik. Namun, bagi saya masih ada masa dan Maloney tahu apa yang patut dilakukan ketika ini bagi membentuk pasukan yang mantap,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pada enam hari pertama, ha­nya lima daripada 31 pemain yang dipanggil melapor diri. Memasuki hari ketujuh, sembilan lagi pemain tiba di kem, dan baki yang lain hadir secara berperingkat.

KEGEMBIRAAN pemain Malaysia B-23 meraikan gol penyamaan Faiz Amer Runnizar hanya bertahan seketika sebelum tumbang 1-2 kepada Timor Leste . – IHSAN FAM

Setakat semalam, 20 pemain sudah melaporkan diri, di mana Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar dan Muhammad Safwan Mazlan menjadi anggota terbaharu tiba di kem latihan.

Ketika ditanya apakah tindakan Maloney enggan mengisi kuota dua pemain lebih umur yang dibenarkan dalam Sukan SEA membawa padah kepada pa­sukan, Azraai menegaskan, setiap jurulatih mempunyai peranca­ngannya yang tersendiri.

“Dia (Maloney) mungkin ada alasan sendiri kenapa tidak mahu bawa, kita tidak boleh persoalkan kerana diakhirnya dia sendiri akan bertanggungjawab… Cuma kita harapkan, skuad kali ini mampu meraih keputusan lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN