ISKANDAR PUTERI: Menyifatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pasukan ‘kerdil’ di pentas kelab elit Asia, Benjamin Mora bangga dengan semangat juang luar biasa yang dipamerkan pemain untuk membawa mereka ke pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara (ACL) buat kali pertama.
Ketika ramai yang tidak meletakkan harapan kepada Harimau Selatan untuk meneruskan kemaraan selepas terikat 1-1 90 minit permainan, keajaiban berlaku di waktu kecederaan apabila JDT meraih gol kemenangan empat minit memasuki waktu kecederaan untuk menumpaskan juara dua kali, Ulsan Hyundai 2-1 kelmarin.
“Kami tidak pernah berhenti percaya…pasukan Korea Selatan itu adalah gergasi Asia…Separuh akhir 2021 dan juara 2020.
“… dan kini kami singkirkan mereka daripada kejohanan. JDT cuma sebuah kelab kecil dari Johor, jadi saya amat berbangga,” katanya.

Laluan Harimau Selatan dalam Kumpulan I amat berliku kerana berdepan kelab No. 1, Asia, Kawasaki Frontale dan juara ACL 2020 serta 2012, Ulsan.
Bagaimanapun, ia tidak menggerunkan mereka untuk layak selaku juara kumpulan setelah empat tahun menyertai kejohanan tersebut sejak 2019.
“Sebelum kempen ACL bermula, kami menanam keyakinan kami mampu mencipta sesuatu yang luar biasa.
“Ini detik bersejarah buat JDT dan individu yang bertanggungjawab di atas kejayaan ini iaitu tidak lain tidak bukan ialah Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” katanya.
Gol sendiri pemain Ulsan, Park Yong Woo empat minit memasuki waktu kecederaan memastikan kemenangan mereka.
Leandro Velazquez membuka jaringan tuan rumah menerusi sepakan percuma pada minit kelima, namun Jun Amano menyamakan kedudukan buat Ulsan, seminit kemudian.