Kedah terus kempunan buru kemenangan

Kedah terus kempunan buru kemenangan

PEMAIN Kedah, Jang Suk-won (kanan) mengawal bola ketika membantu pasukannya menentang Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Hasrat Kedah memburu kemenangan selepas empat perlawanan tidak kesampaian apabila sekadar seri 0-0 pada aksi menentang Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Negeri Sembilan terlebih dulu mendapat peluang menjaringkan gol awal apabila sepakan sudut diambil Khuzaimi Piee tepat ke Herold Goulon, namun tandukan pertahanan berketinggian 1.95 meter itu terlalu perlahan untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit kelima.

Sementara itu, pemain sayap lincah Kedah, Al Hafiz Harun pula hampir membuka jaringan menerusi sepakan percuma dari penjuru kotak penalti tetapi penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed cemerlang melonjakkan badan bagi menepis bola keluar pada minit ke-22,

Pada minit ke-34, giliran Ifwat bekerja keras apabila dia terpaksa melayangkan badan menyelamatkan gawangnya daripada dibocori bola rembatan deras tonggak penyerang Negeri Sembilan, Evanonye Kossi Adetu dari luar kotak penalti.

Ifwat sekali lagi memainkan peranan penting dalam menyelamatkan gawang tuan rumah apabila dia bertindak merebahkan badan dalam kotak penalti, bagi mengelak daripada digelecek Evanonye yang melakukan gerakan solo dari tengah padang pada minit terakhir separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan, Kedah yang seakan terlena pada separuh masa pertama mula mempamerkan kebangkitan menerusi beberapa gerakan menyerang.

Penyerang dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja berpeluang menceriakan penyokong tuan rumah apabila melepasi perangkap ofsaid hasil hantaran lambung Mohd. Fadzrul Danel pada minit ke-63,

Rembatannya bagaimanapun terlalu lemah untuk menewaskan Syihan ketika dia turut diasak oleh beberapa pemain pertahanan Negeri Sembilan dari arah belakang, menyebabkannya tidak berada dalam keadaan selesa untuk melaksanakan percubaan lebih baik.

PERTAHANAN Kedah, Ariff Farhan Md. Isa (kiri) cuba menghalang penyerang Negeri Sembilan, Evanonye Kossi Adetu dalam aksi Liga Super malam ini. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Selepas itu, giliran Negeri Sembilan mencemaskan penyokong tuan rumah apabila sepakan percuma diambil pemain pertahanan kebangsaan, Ahmad Khuzaimee Piee menuju tepat ke kiri gawang tuan rumah minit ke-71.

Peluang terbaik KDA FC menjaringkan gol terhasil.pada minit ke-88, namun sepakan percuma pemain gantian, Mohammad Fayadh Zulkifli Amin ditepis Syihan.

Pada masa kecederaan, Syihan sekali lagi bertindak cemerlang apabila dia menggagalkan percubaan Mohd. Fadzrul Danel ketika kedua-dua mereka berada dalam kedudukan satu sama satu, untuk keputusan terikat 0-0.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya