India singkirkan Malaysia daripada Piala Thomas

India singkirkan Malaysia daripada Piala Thomas

LEE ZII JIA. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia terus kempunan untuk merangkul Piala Thomas selepas 30 tahun menanti apabila tumbang 2-3 kepada India dalam suku akhir di Bangkok, sebentar tadi.

Ini adalah kekalahan pertama Malaysia kepada India sejak 1979.

Kemenangan sensasi ke atas juara lima kali, Malaysia membolehkan India memahat sejarah melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan badminton berpasukan dunia itu buat kali pertama dalam tempoh 43 tahun.

Bagi Malaysia, misi merampas semula Piala Thomas terus gagal dipenuhi biarpun barisan pemain negara sudah bertukar beberapa generasi sejak kemenangan terakhir di Kuala Lumpur pada 1992.

Sejak kemenangan terakhir di Stadium Negara itu, pencapaian terbaik Malaysia adalah muncul naib juara empat kali pada edisi 1994 di Jakarta, 1998 di Hong Kong, 2002 di Guangzhou dan 2014 di New Delhi, India.

KEKALAHAN Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyebabkan percaturan Malaysia mula goyah.

Pemain No. 6 dunia, Lee Zii Jia memastikan Malaysia bermula langkah kanan apabila mengutip mata pertama dengan mengalahkan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia, Lakshya Sen 23-21, 21-9.

Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani yang diturunkan sebagai beregu pertama mula meletakkan Malaysia dalam masalah apabila pasangan No. 13 dunia itu kalah 19-21, 15-21 kepada beregu ranking kelapan, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Ng Tze Yong yang turun selaku perseorangan kedua negara nyata bukan tandingan buat Kidami Srikanth apabila kalah mudah 11-21, 17-21 untuk meletakkan Malaysia di bawah tekanan hebat.

NG Tze Yong juga gagal menghadiahkan mata.

Gandingan Aaron Chia-Teo Ee Yi menghidupkan semula harapan negara dengan menewaskan Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-19, 21-17 untuk kedudukan 2-2.

Begitupun, menggalas harapan untuk mengutip mata kemenangan nyata tugas yang terlalu berat buat Leong Jun Hao, yang akhirnya tumpas 13-21, 8-21 kepada pemain berpengalaman, H.S. Prannoy.

“Saya sudah cuba sedaya upaya, namun Srikanth jauh lebih berpengalaman.

“Dia memiliki teknik yang sangat bagus, jelas sekali masih banyak yang perlu saya pelajari,” kata Tze Yong, 21, yang turut tewas kepada pemain sama pada Kejohanan Asia, dua minggu lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya