fbpx

22 Mei 2022, 5:50 am

  TERKINI

India pahat sejarah mara ke final Piala Thomas buat kali pertama

PEMAIN India meraikan kejayaan mengejutkan Denmark 3-2 untuk mara ke final Piala Thomas di Impact Arena, Bangkok malam tadi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Sehari selepas mengejutkan juara lima kali, Malaysia pada suku akhir kelmarin, India memahat satu lagi sejarah badminton Piala Thomas apabila mara ke final buat kali pertama dengan menumpaskan juara 2016, Denmark 3-2 pada separuh akhir malam tadi.

Prannoy H.S. muncul wira dengan mengutip mata kemenangan India selepas menumpaskan Rasmus Gemke 13-21, 21-9, 21-12 dalam perseorangan ketiga, sekali gus menempah pertemuan dengan juara bertahan, Indonesia esok.

Indonesia yang juga pemenang terbanyak kejohanan dengan 14 kejuaraan mara selepas menyingkirkan juara 2014, Jepun dalam satu lagi aksi separuh akhir di Impact Arena.

Terdahulu, India ketinggalan 0-1 selepas pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen menewaskan Lakshya Sen 21-13, 21-13.

Pasangan No. 8 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menjadikan kedudukan 1-1 selepas  mengalahkan beregu berpengalaman, Kim Astrup-Mathias Christiansen dalam pertarungan sengit 21-18, 21-23, 22-20.

India merampas kedudukan pendahulu selepas pemain perseorangan kedua mereka, K. Srikanth  mengatasi Anders Antonsen 21-18, 12-21, 21-15, sebelum ‘The Danes’ mengikat kedudukan 2-2 menerusi Anders Skaarup Rasmussen-Frederik Sogaard yang menewaskan Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-14, 21-13. – AGENSI

POPULAR

KOSMO! TERKINI