FRANKFURT, Jerman: Eintracht Frankfurt melangkah ke final pentas Eropah pertama dalam tempoh 42 tahun selepas menumpaskan West Ham 1-0 pada separuh akhir kedua Liga Europa hari ini untuk menang secara agregat 3-1.
West Ham terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas bek kiri, Aaron Cresswell dilayangkan kad merah pada awal babak pertama dan pengurus mereka, David Moyes turut diarah keluar padang ketika permainan berbaki 12 minit.
“Amat mengecewakan. Situasi tidak menyebelahi kami malam ini. Perkara-perkara kecil tidak berlaku tetapi saya bangga dengan pemain kami.

“Bagaimana mereka mampu beraksi dengan 10 pemain sangat menakjubkan. Mereka terus berjuang,” kata Moyes.
Penyerang Colombia, Rafael Borre meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-26 untuk membawa Frankfurt ke final Liga Europa di Seville, 18 Mei ini menentang gergasi Scotland, Rangers.
Mereka juga hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak kalah dalam final Piala Eropah 1960 di tangan Real Madrid.
West Ham terus kempunan untuk mara ke final kejohanan Eropah selepas kali terakhir melakukannya pada 1976.

Frankfurt yang tewas kepada Chelsea menerusi penentuan penalti pada separuh akhir Liga Europa 2019, kali terakhir beraksi di pentas final Eropah dalam Piala UEFA 1979-1980. – AFP