Arteta berang Arsenal musnahkan impian kembali ke kancah elit Eropah

Arteta berang Arsenal musnahkan impian kembali ke kancah elit Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEWCASTLE, United Kingdom: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berang pasukannya memusnahkan impian mereka untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan selepas tumpas 2-0 kepada Newcastle dalam aksi Liga Perdana Inggeris pagi tadi.

Nasib Gunners kini bergantung kepada Tottenham, yang mendahului dengan dua mata memasuki perlawanan terakhir liga, Ahad ini.

Arsenal akan terlepas peluang ke pentas elit Eropah buat musim keenam berturut-turut jika kalah kepada Everton dalam aksi terakhir liga.

Sekalipun menang perlawanan itu, mereka tetap gagal ke kelompok empat terbaik jika Tottenham menumpaskan Norwich City.

Spurs hanya memerlukan seri berdepan pasukan yang sudah tersingkir, Norwich kerana perbezaan gol yang lebih memihak mereka.

Kekalahan Arsenal juga memastikan tempat ketiga buat Chelsea yang akan ke Liga Juara-Juara musim depan.

Gol sendiri Ben White dan jaringan lewat permainan Bruno Guimaraes memastikan kemenangan The Magpies.

Newcastle yang dibimbing Eddie Howe menghantar mesej bahawa mereka boleh mencabar kedudukan empat teratas musim depan.

“Malam yang sukar ditelan.

“Newcastle berhak menang selesa. Mereka jauh lebih baik sejak minit pertama, kami tiada peluang,” kata Arteta.

Skuad Arteta berada di ‘petak depan’ ketika saingan berbaki tiga perlawanan apabila mereka mendahului Spurs dengan tiga mata.

Begitupun kemenangan 3-0 Tottenham ke atas Gunners pada 13 Mei lalu memberi tekanan kepada pemain muda Arsenal.

“Newcastle 10 kali lebih baik daripada kami dan persembahan kami jauh daripada prestasi yang patut dipamerkan untuk bermain dalam Liga Juara-Juara.

“Kami tidak berada dalam perlumbaan,” kata Arteta. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya