MANCHESTER: “Tinggalkan Manchester United dalam tempoh 72 jam atau tiga bom akan diletupkan di rumah kamu.”
Itu ugutan yang diterima kapten United, Harry Maguire daripada seorang pengirim e-mel yang digelar sebagai ‘peminat pengecut.’
Ugutan tersebut dihantar kepada ejen pemain itu sehari selepas Red Devils kalah 4-0 kepada musuh ketat, Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Rabu lalu.
Maguire, 29, sedang menjalani latihan di Carrington ketika dia menerima berita menakutkan itu dan bergegas pulang ke rumah untuk bersama pasangannya, Fern Hawkins serta dua anak mereka.

“Mereka memandang serius perkara ini.
“Harry dan rakan-rakan sepasukannya kerap menerima ugutan bunuh di media sosial tetapi kali ini berbeza.
“E-mel itu mengatakan tiga bom telah dipasang di rumahnya.
“Dia mempunyai tempoh 72 jam untuk meninggalkan United atau semua bom itu akan diletupkan. Mesej tersebut penuh dengan kebencian dan penderaan,” kata jurucakap pemain itu.

Menurut jurucakap tersebut, Fern sangat trauma apabila mendapat tahu tentang perkara itu dan merasakan dirinya tidak lagi selamat.
United berada dalam prestasi yang teruk akhir-akhir ini menyebabkan Maguire sering dicemuh di media sosial.
Maguire akan memasang set CCTV baharu dan pengawal keselamatan 24 jam di rumahnya.
Sementara itu, Polis Cheshire mengesahkan tidak menemui sebarang objek meragukan selepas memeriksa rumah bintang England itu.
“Kami telah membawa anjin pengesan dan tiada sebarang objek meragukan ditemui sepanjang pencarian,” kata pihak polis. – AGENSI