IPOH: Perak FC terlepas daripada dikenakan hukuman berat selepas badan bebas, First Instance Body (FIB) meluluskan permohonan pemilik kelab, Impact Media & Communication Sdn. Bhd. (IMC) untuk melanjutkan tempoh menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan sehingga 29 April.
Perak membuat permohonan itu semalam bagi mengelakkan Bos Gaurus dikenakan tindakan keras kerana gagal menyelesaikan atau menunjukkan bukti pembayaran gaji pemain pada hari terakhir yang ditetapkan.
Berjaya mengelak daripada dikenakan hukuman memberi kelegaan kepada Perak FC, namun kegagalan pemilik melunaskan gaji ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri kurang 10 hari lagi, tetap meresahkan pemain Bos Gaurus.
“Pihak Jawatankuasa FIB membuat keputusan untuk memberi ruang masa kepada Perak FC kerana kami berharap dengan penyelesaian proses rundingan berkenaan akan dapat memberi satu sinar baharu kepada kebajikan pemain dan pegawai Perak FC.
Badan bebas “First Instance Body” (FIB) hari ini membuat keputusan untuk meluluskan permohonan Perak FC untuk lanjutan masa bagi memberi ruang pihak pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan.#LigaPremier2022
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) April 21, 2022
“Bagaimanapun sekiranya Perak FC masih gagal menyelesaikan urusan berkenaan pada tarikh yang telah ditetapkan maka pihak Jawatankuasa FIB akan mengambil tindakan lanjut serta membawa perkara ini ke pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah MFL,” kata Pengerusi FIB, Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif.
Kegagalan membuat bayaran atau persetujuan seperti yang ditetapkan meletakkan Perak FC dalam bahaya dikenakan tindakan drastik, termasuk penyingkiran liga dan penarikan lesen.
Kali pertama Perak FC ‘melanggar’ tarikh yang ditetapkan untuk menyelesaikan kemelut pada 8 April lalu, mereka dikenakan pemotongan tiga mata.
Bos Gaurus kemudian dikenakan pemotongan enam lagi mata selepas terus melanggar tarikh akhir kedua 15 April lalu.
MIC masih gagal mencapai persetujuan untuk menjual pasukan kepada JR Resources and Services Sdn. Bhd. (JR) semalam. – UTUSAN