Sobey, Syahir tercicir dari Sukan SEA bukan kerana isu disiplin

Sobey, Syahir tercicir dari Sukan SEA bukan kerana isu disiplin

ZULKIFLI ABDUL RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan dua tekong senior, Zulkifli Abdul Razak dan Mohammad Syahir Rosdi dalam senarai 12 pemain ke Sukan SEA Vietnam bulan depan bukan disebabkan masalah disiplin tetapi bagi memberi peluang kepada pemain muda.

Zulkifli atau lebih mesra de­ngan panggilan Sobey mahupun Syahir yang mendapat julukan Si Panjang sebelum ini digugurkan daripada temasya dwi tahunan itu di Filipina, tiga tahun lalu kerana isu disiplin.

Nama mereka disebut-sebut akan menjadi pilihan ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad untuk membuat kepulangan pada temasya kali ini, namun ramalan tersebut meleset.

Ketiadaan Syahir, 26, paling mengejutkan kerana baru membantu Kuala Lumpur (KL) Thunder mempertahankan kejuaraan Piala Juara-Juara di Johor minggu lalu, malah dinobat sebagai tekong terbaik perlawanan.

Kata Abdul Talib, daripada 10 pemain yang memegang status senior dalam skuad kebangsaan, hanya empat tersenarai iaitu Muhammad Afifuddin Mohd. Razali, Norfaizzul Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin.

“Selain empat senior itu, selebihnya iaitu lapan lagi pemain terdiri dalam kalangan pemain muda. Kita memiliki tujuh pemain yang berusia 21 tahun ke bawah, tiga orang berumur 23 hingga 25 tahun dan seorang 30 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lanjut sebab mengetepikan beberapa pemain senior, Abdul Talib membe­ritahu, pemain senior yang tidak tersenarai masih dalam skuad kebangsaan, mereka tidak digugurkan cuma tidak dibawa ke Vietnam.

Jelasnya, pandemik Co­vid-19 menyebabkan ketiadaan pertandingan di pentas antarabangsa dan Malaysia memerlukan pelapis bagi mengisi tempat pemain-pemain senior pada satu hari nanti.

“Saya berasakan Sukan SEA platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda ini. Inilah masanya kita lihat mereka beraksi di peringkat antarabangsa.

“Bagi pemain senior yang tidak terpilih, mereka masih ada Sukan Asia. Selepas Sukan SEA kita akan membuat pemilihan sekali lagi untuk ke temasya tersebut,” tegasnya.

Memilih Janda Baik, Pahang sebagai lokasi kem latihan skuad kebangsaan menjelang Sukan SEA, Abdul Talib berkata, menurunkan rata-rata wajah baharu mungkin memberi ke­lebihan kepada Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya