Skuad sepak takraw berpuasa, raya di Janda Baik demi Malaysia

Skuad sepak takraw berpuasa, raya di Janda Baik demi Malaysia

PASUKAN sepak takraw Malaysia yang akan beraksi pada Sukan SEA Vietnam, bulan depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enggan mengambil risiko pemain dijangkiti Covid-19 menjelang Sukan SEA Vietnam bulan depan, skuad sepak takraw Malaysia memilih untuk berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini jauh daripada keluarga tersayang.

Anak-anak buah Abdul Talib Ahmad melakukan pengorbanan itu dengan berlatih di Janda Baik, Pahang bermula sejak 30 Mac lalu dan akan terus berkampung di situ sehingga hari mereka terbang ke Hanoi.

“Saya terpaksa mengambil langkah ini sebab saya bimbang pemain akan dijangkiti Covid-19, jangan nanti disebabkan seorang pemain yang positif seluruh pasukan terbabit sama.

“Keadaan masih terkawal jika seorang sahaja yang kena tapi kalau seluruh pasukan dijangkiti Covid-19, ia akan menimbulkan masalah besar kepada persediaan skuad kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Keputusan tersebut bermakna pemain termasuk barisan kejurulatihan skuad takraw negara tidak akan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga masing-masing awal bulan depan.

Menurut Abdul Talib, skuad bimbingannya juga akan berpuasa bersama di Janda Baik tanpa keluarga di sisi mereka.

Jelasnya, latihan juga beralih ke sebelah malam selepas solat tarawih sepanjang Ramdhan ini, sementara sesi pada siang hari diisi dengan latihan ringan dan taklimat buat para pemain.

“Saya harap para pemain boleh menyesuaikan diri mereka dengan keadaan ini dan saya yakin para pemain yang rata-rata terdiri dalam kalangan pemain muda bersemangat untuk mewakili negara, jadi mereka sedia berkorban,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Majlis Sukan Negara (MSN) memang ada meletakkan tarikh untuk para atlet ke Sukan SEA perlu diasingkan iaitu bermula 22 April ini memandangkan temasya dwi tahunan itu akan bermula pada 12 hingga 23 Mei depan.

Bagaimanapun, katanya, sebagai langkah berjaga-jaga skuad sepak takraw memilih jalan lebih selamat dengan mempercepatkan tarikh para pemain diasingkan.

“Saya berasa lebih baik kita buat lebih awal. Penularan Covid-19 ini boleh merencatkan persiapan kita, itu yang saya tak mahu,” tambah beliau yang turut mengakui anak-anak buahnya bebas daripada sebarang kecederaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya