Ronaldo penyelamat Manchester United?

Ronaldo penyelamat Manchester United?

CRISTIANO Ronaldo (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan semalam menjelang pertemuan menentang Arsenal malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kepulangan semula Cristiano Ronaldo dan Raphael Varane dalam sesi latihan kelmarin menaikkan semangat Manchester United (MU) untuk berdepan Arsenal pada aksi penting Liga Perdana Inggeris hari ini.

Red Devils bertandang ke Emirates dengan misi wajib menang jika mahu mencabar kelompok empat teratas.

Ketika saingan berbaki enam perlawanan, United menghuni tangga keenam liga dengan tiga mata di belakang pasukan tempat keempat, Tottenham.

Ronaldo, 37, tidak beraksi ketika United dibelasah 4-0 oleh Liverpool pada perlawanan terakhir liga, Rabu lalu kerana kematian bayi kembarnya.

Varane, 28, pula terlepas tiga perlawanan terakhir menentang Everton, Norwich City dan Li­verpool kerana masalah otot.

Scott McTominay yang me­ngalami kecederaan kaki baru-baru ini dijangka kembali dalam kesebelasan utama selepas ­berada di bangku simpanan ketika bertemu Liverpool.

Red Devils yang bakal dibim­bing pengurus baharu, Erik Ten Hag musim depan mengesahkan, kehilangan khidmat Paul Pogba untuk pertemuan dengan Arsenal dan Chelsea (Jumaat depan) akibat kecederaan otot.

“Dia (Pogba) mengalami kecederaan otot betis, saya fikir dia tidak boleh bermain untuk perlawanan menentang Arsenal dan Chelsea.

“Saya tidak tahu berapa ­ramai yang boleh beraksi atau tidak dalam perlawanan itu kerana ada tujuh hingga lapan pemain ­cedera ketika ini.

“Bagaimanapun kami tetap perlu turun untuk mencari kemenangan dan akan menurun­kan barisan terbaik dalam misi memburu tiga mata,” kata ­pengendali sementara United, Ralf Rangnick.

SEMANGAT GUNNERS DI TAHAP TERTINGGI

Pada ketika United bertandang ke London dalam mood kurang ceria ekoran dibenam musuh tradisi, Liverpool dalam aksi terakhir, semangat Arsenal sebaliknya amat tinggi.

Kemenangan 4-2 ke atas musuh sebandar, Chelsea di Stamford Bridge kelmarin meningkatkan keyakinan anak-anak buah Mikel Arteta.

Bintang tengah Gunners, Granit Xhaka percaya taktikal mereka amat menakjubkan ketika menumpaskan Blues dan menuntut rakan-rakan sepasukan mengulangi karakter apabila menerima kunjungan United.

“Kami akan mengharungi enam perlawanan terakhir yang getir dan pertemuan menentang Manchester United antara yang paling mencabar.

“Kami kena menunjukkan karakter dan semangat bahawa kami turun untuk mendapatkan tiga mata.

“Selepas mengharungi tiga perlawanan mengecewakan, kemenangan ke atas Chelsea di tempat mereka benar-benar menaikkan semangat pasukan,” kata Xhaka.

Eddie Nketiah

Arsenal yang kini menghuni tangga kelima liga dengan berkongsi 57 mata bersama Tottenham, kalah 3-2 kepada United dalam perlawanan pertama mereka, 21 Disember lalu.

Aksi cemerlang Eddie Nketiah meledak dua gol ketika m­enumpaskan Chelsea hampir pasti mengekalkan penyerang muda England itu dalam kese­belasan utama. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN