PSM jumpa PJS selepas sokongan ahli gabungan bertambah

PSM jumpa PJS selepas sokongan ahli gabungan bertambah

SUMALI REDUAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sokongan terhadap Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kini semakin bertambah kepada 16 ahli gabungan dan badan induk itu bertekad menyelesaikan segera kemelut yang melanda dengan pertemuan bersama Pesuruhjaya Sukan (PJS) turut diatur dalam masa terdekat ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, sokongan terhadap badan induk itu kini bertambah dengan yang terbaharu iaitu persatuan sepak takraw dari Jabatan Penjara Malaysia telah membuat keputusan untuk bersama-sama dengan PSM.

“Setakat ini PSM telah mendapat sokongan daripada 16 ahli gabungan, manakala Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) masih kekal dengan enam ahli gabungan.

“Kita juga akan mengadakan pertemuan dengan PJS bagi menyelesaikan segera segala kemelut yang semakin berlanjutan ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM malam tadi.

Menurutnya, PSM masih kekal dengan pendirian bahawa kewujudan dua badan induk di negara ini tidak memberikan sebarang faedah kepada pembangunan sukan sepak takraw.

Jelas Sumali, kemelut yang melanda pada ketika ini hanya mendatangkan mudarat kepada perpaduan komuniti sukan sepak takraw.

“Sebab itu, PSM telah melantik peguam bagi menasihati tindakan perundangan yang diambil ke atas PJS dan biarlah peguam menjalankan tugas mereka.

“Kita juga akan memperjuangkan hak kita di pentas antarabangsa dengan mendapatkan nasihat peguam. Saya amat berharap PSM tidak dizalimi dan tidak dipinggirkan,” tegasnya.

Beliau menambah, selama ini, pihaknya telah mematuhi segala arahan serta nasihat PJS termasuk mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) secepat mungkin.

“PJS arahkan kita buat pindaan perlembagaan, kita bincang dengan PJS, rakan-rakan dalam PSM, kita buat pindaan itupun atas nasihat PJS.

“Kita buat AGM segerapun atas nasihat PJS dan lepas itulah wujudnya MSC, jadi saya tak mahu ulas panjang lebar kerana ia melibatkan pelbagai pihak,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada PSM berhasrat membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), beliau memberitahu, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada peguam untuk membuat keputusan dan butiran lanjut tidak boleh dikongsikan kepada umum bagi membolehkan proses perundangan berjalan dengan lancar.

“Kita mempunyai pendapat sendiri yang kita rasakan betul, kita tiada masa untuk terus melayan kemelut ini dan fokus PSM kini adalah kepada pembangunan sukan sepak takraw negara,” tambah Sumali.

Katanya lagi, pihaknya turut berterima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang terus memberikan sokongan, manakala Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN) tidak pernah menyingkirkan PSM sebagai badan induk sukan sepak takraw di Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya