KUALA NERUS: Ketumpulan penyudah menjadi punca Selangor tumpas 2-0 kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super di tempat lawan malam tadi.
Ketua jurulatihnya, Michael Feichtenbeiner berkata, Selangor perlu menyalahkan diri sendiri atas kegagalan menyudahkan deretan peluang yang terhidang hingga meleburkan rekod tanpa kalah musim ini.
Katanya, awal permainan bermula baik apabila anak buahnya mampu menguasai 20 minit pertama sebelum dikejutkan dengan jaringan pembukaan oleh pemain tuan rumah, Faisal Abdul Halim.

“Gerakan pertama Terengganu FC telah membunuh motivasi pemain dan kedudukan sepatutnya berubah apabila peluang terbaik menjelma lagi pada awal babak kedua untuk menjadikan 1-1 tetapi gagal.
“Secara keseluruhan, kami bermain baik namun Terengganu FC lebih tajam di depan pintu gol berbanding Selangor,” katanya dalam sidang akhbar.
Feichtenbeiner berkata, tindakan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Sang Penyu pada minit ke-60 menyebabkan anak-anak buahnya semakin berada dalam tekanan.
“Kami cuba membuat perubahan selepas rehat dan berhasil mencemaskan kubu lawan, namun semangat pemain direntap disebabkan insiden di dalam kotak penalti,” katanya. – UTUSAN ONLINE