MUNICH, Jerman: Ketua jurulatih Bayern Munich, Julian Nagelsmann mendedahkan dia menerima banyak ancaman bunuh selepas pasukannya disingkirkan Villarreal dalam suku akhir Liga Juara-Juara, Rabu lalu.
Villarreal melakar kemenangan bersejarah ke atas juara Eropah enam kali itu selepas seri 1-1 di Allianz Arena pada suku akhir kedua, sekali gus mara ke separuh akhir secara agregat 2-1.
Pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic dan keluarganya turut menerima ancaman bunuh selepas perlawanan itu.
“Saya sedar, saya akan menerima kritikan daripada semua pihak, itu perkara biasa dan saya mampu menanganinya.
“Begitupun, dengan 450 ancaman bunuh di Instagram, ia tidak mudah.

“Orang mahu membunuh saya, itu satu hal…Mereka juga mengancam untuk menyerang ibu saya yang tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak.
“Saya tidak faham. Sebaik sahaja mereka tutup televisyen, orang terus lupa tentang adab dan kesopanan, itu memang gila,” kata Nagelsmann.
Pengendali berusia 34 tahun itu turut ditanya apakah dia ada memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas semua pelaku, namun dia cuma membalas: “Saya tidak akan lakukan apa-apa kepada mereka.
“Saya memang sering menerima ancaman dalam setiap perlawanan, sama ada kami menang atau kalah.
“Saya menerima lebih banyak ancaman bunuh apabila meletakkan tiga pertahanan berbanding empat, dan beberapa lagi apabila kita kalah.”
Meskipun Bayern tewas kepada Villarreal, skuad kendalian Nagelsmann kekal dalam landasan untuk memastikan kejuaraan Bundesliga ke-10 berturut-turut. – AGENSI