LONDON: Newcastle yang memenangi enam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris di laman sendiri mampu menjadi ancaman kepada misi Liverpool untuk memburu tiga mata apabila kedua-dua pasukan bertemu di St. James Park hari ini.
Reds yang dipisahkan satu mata di belakang pendahulu, Manchester City ketika saingan berbaki lima perlawanan turun dengan motivasi tinggi selepas menerima khabar gembira, Jurgen Klopp menandatangani penyambungan kontrak sebagai pengurus sehingga 2026.
The Magpies yang menghuni tangga kesembilan liga bagaimanapun mampu merosakkan keseronokan Liverpool selepas memenangi empat perlawanan terakhir berturut-turut, perkembangan yang meresahkan legenda Reds, Ian Rush.
“Menentang Newcastle di tempat mereka amat berbahaya buat Liverpool. Jurgen Klopp perlu berhati-hati menangani perlawanan ini.
“Mereka sedang berada pada prestasi terbaik dan beraksi pula di depan penyokong sendiri menjadikan Newcastle lebih kuat. Semua pemain mereka pasti mahu mencari keputusan besar.

Newcastle telah melonjak dari tangga ke-19 ke kedudukan kesembilan di bawah bimbingan Eddie Howe.
“Jika mereka boleh menewaskan Liverpool, Newcastle akan membuktikan bahawa mereka boleh bersaing dengan yang terbaik,” kata Rush.
Menurut Rush, bintang tengah Newcastle, Bruno Guimaraes yang meledak dua gol dalam tiga perlawanan terakhir perlu diberi perhatian serius kerana keyakinannya semakin meningkat sejak menyertai kelab itu dari Lyon, Januari lalu.

Liverpool juga pada prestasi cemerlang, dengan menang 12 daripada 13 aksi terakhir liga.
Mohamed Salah dijangka menjadi pilihan untuk mengetuai serangan selepas meledak tujuh gol dalam tujuh perlawanan terakhirnya menentang Newcastle.
Klopp mungkin menggandingkan bintang Mesir itu dengan Sadio Mane dan Diogo Jota. – AGENSI