SEREMBAN: Selangor gagal mempertahankan kelebihan mendahului 2-0 apabila diikat 2-2 oleh pendatang baharu Liga Super, Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi.
Beraksi dengan 10 orang selepas pemain pertahanan, Yazan Mousa Mahmoud Al-Arab dibuang padang pada minit ke-22 merencatkan sedikit rentak permainan Red Giants.
Gol sendiri pertahanan Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan yang tertampan bola hantaran lintang lawan di minit-34 membolehkan Selangor mendahului 1-0.
Memasuki separuh masa kedua, Selangor menambah tekanan Negeri Sembilan apabila memperoleh sepakan penalti pada minit ke-48 selepas penyerang mereka, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dikasari Herold Mark Goulon.
Peluang yang terhidang berkenaan kemudian disempurnakan oleh Herlison Caion untuk gol kedua Selangor.
Tidak mengalah, Negeri Sembilan kemudian dihadiahkan sepakan penalti apabila penyerang gantian mereka, Evanonye Kossi Adetu dijatuhkan pemain pertahanan Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar.
Herold Goulon kemudian menyudahkan sepakan penalti diberikan dan menewaskan Mohd. Khairulazhan Mohd. Khalid di gawang Selangor untuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-57.
Serangan bertali arus kemudiannya berjaya menghasilkan gol penyamaan buat Negeri Sembilan apabila Evanonye Kossi Adetu merembat kencang hasil situasi kelam kabut di hadapan gol Selangor.
Tuan rumah cuba mencari gol penyamaan namun Selangor kental bertahan sehingga tamat perlawanan dan menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.