KUALA NERUS: Persiapan pasukan bola sepak negara ke Sukan SEA Vietnam bulan depan semakin kusut selepas Terengganu FC tidak mengizinkan lima pemainnya, termasuk penjaga gol menyertai kem latihan pusat skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan.
Pengendalinya, Mohd. Nafuzi Zain berkata, pasukan tidak sanggup kehilangan Rahadiazli Rahalim, Azam Azmi Murad, Hairiey Hakim Mamat, Mohd. Syafik Ismail dan Nik Akif Syahiran Nik Mat untuk empat perlawanan Liga Super sepanjang Mei di samping aksi pusingan kedua Piala FA bertemu Kedah jika Sang Penyu layak.
Bagaimanapun, katanya, tindakan itu bukan bermaksud Terengganu FC menyekat perkembangan kerjaya pemain di peringkat antarabangsa, namun kelima-lima mereka adalah tonggak dan sangat diperlukan kelab.
“Saya sudah berbincang dengan ketua jurulatih negara, Brad Maloney dan dia faham situasi kita. Masalah ini tidak menjejaskan hubungan baik kedua-dua pihak.
“Menyarung jersi Malaysia merupakan impian setiap pemain dan sebenarnya kami tiada masalah untuk melepaskan mereka jika tiada pertindihan jadual,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Selain lima pemain itu, turut berada dalam senarai 31 pemain yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ialah empat tonggak Terengganu FC II iaitu Syed Muhd. Nasrulhaq Syed Bidin, Nur Azfar Fikri Azhar, Muslihuddin ‘Atiq Mat Zaid dan Muhd. Safwan Mazlan.
Mohd. Nafuzi berkata, perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada FAM sekali gus berharap dapat mencari penyelesaian menang-menang buat kedua-dua pihak.