MSC tunggu MOM terima jadi ahli gabungan

MSC tunggu MOM terima jadi ahli gabungan

Sepak takraw
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC), Datuk Suhaili Abdul Rahman menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menerima MSC sebagai ahli gabungan memandangkan segala syarat yang ditetapkan telahpun dipenuhi.

Menurut beliau, pihaknya telah memenuhi syarat yang diletakkan MOM agar mendapatkan pengiktirafan daripada Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).

“Kita telah memenuhi syarat untuk mendapatkan pengiktirafan Istaf dan Astaf. Sepatutnya kita sudah diterima jadi ahli MOM.

“Sebelum ini, Tan Sri (Mohamad) Norza (Zakaria) maklum bahawa MSC perlu berdaftar dengan badan antarabangsa dan kita memenuhinya. Sekarang kita serahkan kepada MOM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama media di Pusat Konvensyen Sime Darby dekat sini, kelmarin.

Suhaili amat berharap MOM dapat menerima MSC kerana secara teknikal dan mengikut perlembagaan, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak layak jadi ahli.

Beliau turut mempersoalkan tentang dakwaan MOM yang menyatakan MSC masih ‘hijau’ dan tidak mempunyai sebarang program untuk dianjurkan.

“Kalau MOM kata kita masih ‘hijau’, memanglah kerana tertubuhnya MSC adalah disebabkan kemelut PSM dengan Astaf dan Istaf.

“Jadi tertubuhnya MSC adalah berpunca daripada kemelut itu. Kita tidak ada pilihan selain meneruskan permohonan kita dan ia diterima oleh PJS (Pesuruhjaya Sukan). Astaf dan Istaf juga luluskan kita,” tegas Suhaili.

Katanya lagi, segala kriteria dan syarat yang digariskan oleh MOM telahpun dipatuhi, tetapi, kelmarin, keluar satu surat yang masih mengiktiraf PSM.

“Kita takkan nak cabar, itu bidang kuasa mereka. Kita pun ada program nak buat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya