PETALING JAYA: Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Brad Maloney bakal menerima perkhabaran gembira apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan merombak jadual perlawanan melibatkan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M), yang mana pemain mereka terlibat dengan Sukan SEA di Hanoi bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menegaskan, mereka serius untuk membantu persiapan skuad negara ke temasya 12 hingga 23 Mei itu yang kini ‘terumbang ambing’ apabila hanya lima daripada 31 pemain yang dipanggil hadir pada sesi latihan pertama, Selasa lalu.
Kata Stuart, pengumuman mengenai rombakan jadual perlawanan akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi.
“Saya tak boleh komen mengenai panggilan (skuad negara) kerana ia bukan di bawah bidang kuasa saya tetapi mengenai kalendar (jadual Liga Malaysia) itu perkara yang saya tengah kerja keras bersama sekretariat untuk mengurus pasukan yang terbaik buat FAM.
“Dalam sehari dua lagi saya akan buat pengumuman mengenai kalendar (perubahan jadual).

PENGARAH Urusan Sime Darby Oils, Mohd. Haris Arshad (dua, kanan) menyerahkan tajaan pada Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad (tiga, kanan) di Menara Sime Darby Plantation, Petaling Jaya semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam (kiri) dan Ketua Sime Darby Oils Profesional, Rahimi Abdullah.
“Semua dalam senarai (nama pemain) yang telah dikeluarkan tempoh hari, tetapi kita perlu lihat dalam keutamaan majoriti panggilan skuad negara.
“Dan jika majoriti panggilan daripada satu hingga dua pasukan, kita terpaksa meletak keutamaan kepada pasukan itu (skuad kebangsaan),” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman minyak masak ALIF sebagai penaja baharu Liga Malaysia semalam.
Kelmarin, barisan kejurulatihan skuad B-23 tahun kebangsaan menerima khabar dukacita apabila hanya lima pemain daripada 31 tonggak yang disenarai melapor diri pada hari pertama latihan pusat.
Lima pemain itu ialah penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Fahmi Daniel Mohd. Zaaim dan Muhammad Faiz Amer Runnizar dari pasukan Selangor II, selain Muhammad Shafi Azswad Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Muhammad Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City City).
Berdasarkan senarai, terdapat dua pasukan yang mempunyai ramai pemain dipanggil ke kem latihan berpusat iaitu Selangor (11) dan Terengganu FC dengan sembilan orang. – UTUSAN