MANCHESTER: Prestasi buruk Manchester United musim ini turut memberi kesan hebat kepada kapten mereka, Harry Maguire sehingga ada yang sanggup membuat ancaman bom di rumah tonggak pertahanan itu.
Maguire antara pemain yang paling teruk dikecam gara-gara United kini terkeluar daripada kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris, dan menutup kempen tanpa sebarang kejuaraan buat musim kelima berturut-turut.
Jurucakap pemain berusia 29 tahun itu mengesahkan, Maguire ‘menerima ancaman serius di rumah keluarganya’, manakala Polis Cheshire menambah, mereka telah menerima laporan mengenai ancaman bom di sebuah rumah yang beralamat di Wilmslow.
“Dalam masa 24 jam yang lalu, Harry telah menerima ancaman serius di rumah keluarganya.
“Dia telah melaporkan perkara ini kepada polis yang juga sedang membuat siasatan.
“Keselamatan keluarganya dan orang-orang yang berada di sekelilingnya sudah tentu menjadi keutamaan nombor satu Harry.
“Dia akan terus membuat persiapan bagi perlawanan minggu ini seperti biasa dan tidak akan mengulas lanjut mengenai insiden itu buat masa ini,” kata jurucakap tersebut kepada Sky Sports.
Polis Cheshire berkata, anjing pengesan telah digunakan untuk memeriksa rumah Maguire sebagai langkah berjaga-jaga, namun keluarga bintang England itu tidak meninggalkan rumah tersebut.
“Pada Rabu 20 April, Polis Cheshire telah dihubungi untuk melaporkan ancaman bom di alamat yang terletak di kawasan Wilmslow.
“Tiada perpindahan berlaku, namun sebagai langkah berjaga-jaga seekor anjing pengesan bahan letupan dibawa ke alamat itu hari ini (semalam) bagi melakukan pencarian di kawasan berdekatan,” kata Polis Cheshire dalam satu kenyataan.
Maguire tinggal di kawasan kejiranan Wilmslow bersama pasangannya dan dua anak mereka. – AGENSI