LIVERPOOL: Liverpool terus menghambat pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City dengan satu mata di belakang apabila menumpaskan Everton 2-0 di Anfield hari ini.
Pada ketika Reds terus memberi tekanan dalam pemburuan kejuaraan liga menuju lima perlawanan terakhir, Everton sebaliknya jatuh ke zon penyingkiran.
Tuan rumah bagaimanapun terpaksa bersabar sebelum menembusi benteng lawan apabila Andrew Robertson menanduk hantaran lintang Mohamed Salah pada minit ke-62.

Pemain gantian, Divock Origi menambah derita The Toffees dengan menggandakan kedudukan Liverpool lima minit sebelum tamat permainan.
Everton jatuh ke tangga ketiga tercorot dengan dua mata di belakang Burnley, yang naik ke zon selamat selepas menang 1-0 ke atas Wolverhampton.
Liverpool kini akan mengalihkan tumpuan kepada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Villarreal di tempat sendiri, Rabu ini sebelum bertandang ke Newcastle untuk aksi Liga Perdana, Sabtu depan.
Everton pula akan melayani kunjungan Chelsea, Ahad depan. – AGENSI