LIVERPOOL: Liverpool akan menentukan nasib mereka sendiri apabila bertandang ke Villarreal minggu depan selepas menang 2-0 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara hari ini.
Jaringan sendiri Pervis Estupinan pada minit ke-53, diikuti gol Sadio Mane, dua minit berselang memberi bekalan baik buat Reds untuk aksi timbal balik, Rabu ini.
Juara Eropah enam kali itu kini menjadi pilihan untuk melangkah ke final, dan akan bertemu Manchester City atau Real Madrid jika berjaya meneruskan kemaraan.
Pengendali Villarreal, Unai Emery mengakui, pasukannya bernasib baik tidak kalah lebih besar dan berjanji akan bangkit di laman sendiri.
Kapten Liverpool, Jordan Henderson pula berkata, faktor ‘tuah’ turut membantu pasukannya menumpaskan Villarreal di Anfield.

“Kami tidak boleh mempertikaikan keputusan perlawanan kerana mereka memang berhak menang.
“Babak pertama kami bertahan dengan baik tetapi gagal menyerang, Liverpool sebaliknya memiliki dua atau tiga peluang yang bagus.
“Separuh masa kedua keadaan hampir sama. Mereka terus memberi tekanan dan berhak mendapat jaringan. 2-0 keputusan yang bagus dan kami akan cuba bangkit di tempat sendiri,” kata Emery.
Reds kini akan bertandang ke Newcastle dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini sebelum menentang Villarreal pada separuh akhir kedua di Estadio de la Ceramica. – AGENSI