ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak dapat memberi jaminan pasukannya akan berada pada tahap 100 peratus cergas apabila berdepan gergasi bola sepak Jepun, Kawasaki Frontale dalam aksi Liga Juara-juara Asia (ACL), malam ini.
Menurut Mora, tahap kecergasan pemain menunjukkan penurunan setelah beraksi dalam tiga perlawanan untuk tempoh tujuh hari dan hanya mempunyai dua hari rehat sebelum bertemu juara Liga 1 Jepun itu buat kali kedua.
Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan akan tetap memberi saingan sengit bagi memastikan kelab nombor satu Asia itu terus kempunan untuk mengutip tiga mata.
“Setelah melalui pertemuan sengit menentang Kawasaki Frontale sebelum ini, tahap kecergasan pemain menjadi kebimbangan, malah tempoh pemulihan selama dua hari juga tidak mencukupi.
“Lebih-lebih lagi apabila kami menurunkan pemain yang sama pada setiap perlawanan.

“Ada kemungkinan mereka tidak dapat beraksi di tahap terbaik, namun tetap bersemangat untuk diturunkan pada perlawanan itu.
“Saya menjangkakan Kawasaki Frontale akan cuba menebus kekecewaan setelah gagal mengutip tiga mata dan akan tampil dengan corak permainan lebih agresif, apa pun kita sudah bersedia bagi menghalang mereka,” katanya.
Dalam tiga perlawanan terdahulu, Mora hanya melakukan pertukaran kecil di posisi tengah, manakala pemain di bahagian lain tidak berubah.
Ditanya mengenai pemain tengah, Natxo Insa, Mora memberitahu, pemain kelahiran Sepanyol itu memainkan peranan penting mematahkan gerakan serangan yang dilancarkan di bahagian tengah pasukan lawan.
“Walaupun sudah berusia, Natxo mampu memberikan aksi bertenaga dan tidak kenal erti penat dalam melakukan cabaran, malah bijak membaca rentak permainan dan membuat keputusan apabila berada dalam tekanan,” katanya. – UTUSAN