LIVERPOOL: Jurgen Klopp menegaskan banyak lagi yang perlu dilakukan Liverpool pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara minggu depan selepas juara enam kali itu mempamer aksi meyakinkan ketika menumpaskan Villarreal 2-0 semalam.
Dua gol dalam tempoh dua minit menerusi jaringan sendiri Pervis Estupinan dan Sadio Mane pada babak kedua memastikan Reds membawa bekalan apabila bertandang ke Sepanyol, Rabu depan.
Pasukan pelawat yang dibimbing Unai Emery hanya melakukan satu percubaan dalam tempoh 90 minit, malah gagal menguji penjaga gol Liverpool, Alisson.
“Kami belum menang apa-apa, banyak kerja yang menanti.
“Anda masih dalam permainan dan hanya mendahului 2-0. Anda kena 100 peratus dalam mood yang betul, bermain di ‘separuh masa kedua’ sama seperti anda beraksi pada babak pertama.
“Jika kami dapat mengekalkan permainan, kami mungkin akan memiliki semua kelebihan.
“Bagaimanapun kami sedar, suasana amat sukar dan berbeza dengan malam ini apabila bertandang ke tempat lawan,” kata Klopp.
Liverpool akan bertandang ke Newcastle dalam aksi Liga Perdana Inggeris esok sebelum menentang Villarreal pada separuh akhir kedua di Estadio de la Ceramica.
Sementara itu, pengendali Villarreal, Unai Emery mengakui, pasukannya bernasib baik tidak kalah lebih besar dan berjanji akan bangkit di laman sendiri.

“Kami tidak boleh mempertikaikan keputusan perlawanan kerana mereka memang berhak menang.
“Babak pertama kami bertahan dengan baik tetapi gagal menyerang, Liverpool sebaliknya memiliki dua atau tiga peluang yang bagus.
“Separuh masa kedua keadaan hampir sama. Mereka terus memberi tekanan dan berhak mendapat jaringan.
“Sebenanya 2-0 masih keputusan bagus dan kami akan cuba bangkit,” kata Emery.
Liverpool akan menentang Manchester City atau Real Madrid dalam perlawanan akhir jika meneruskan cabaran. – AGENSI