PETALING JAYA: Perkenalkan peraturan tindakan sivil serta Akta Buruh terhadap mana-mana persatuan atau individu culas membayar gaji pemain antara jalan terbaik bagi menghentikan masalah yang sudah menjadi barah dalam bola sepak Malaysia, kata pemerhati bola sepak, Mohd. Sadek Mustafa.
Mohd. Sadek berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dan memanggil persatuan-persatuan negeri (FA) bagi mengesyorkan peraturan tersebut yang sudah pun digunakan di beberapa negara Eropah.
Memang pemotongan mata dikenakan terhadap kelab bermasalah, namun tindakan itu tidak cukup melindungi pemain.

“FAM perlu mensyorkan tindakan ini kepada FA Negeri dan dipersetujui bersama untuk menjadikannya sebahagian urus tadbir kelab-kelab. Benda-benda ini (jenayah sivil) tiada di Malaysia tetapi digunapakai di Sepanyol dan United Kingdom (UK).
“Mungkin FAM boleh meneliti klausa tertentu untuk menggubal peraturan sedia ada dengan mengenakan hukuman tidak membenarkan atau haramkan individu terbabit bergiat aktif dalam bola sepak.
“PFAM yang mewakili pemain juga perlu diberi kebenaran mendakwa individu terbabit di Mahkamah Sivil sebagaimana digunapakai pekerja-pekerja organisasi perkhidmatan lain yang membawa masalah mereka ke Mahkamah Buruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berkata, tindakan lebih drastik, termasuk muflis dan penjara boleh dikenakan ke atas pengurusan atau individu terbabit bagi melindungi hak pemain.
Isu gaji yang membelenggu pasukan Liga Malaysia (Liga M) seolah-olah tiada berpenghujunga dengan terbaharu, Ketua Jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic mendeahkan, pasukan mempamer aksi lesu gara-gara sudah hampir tiga bulan tidak menerima gaji.
Kenyataan Vidakovic hadir ketika Perak FC juga masih dibelenggu isu sama hingga timbul desas desus mengatakan kesabaran pemain sudah sampai di kemuncak, dan mereka mungkin akan memulaukan perlawanan. – UTUSAN