Harimau Selatan tumbangkan bekas juara - Utusan Malaysia

Harimau Selatan tumbangkan bekas juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengejutkan bekas juara, Ulsan Hyundai FC 2-1 dalam perlawanan penuh mendebarkan peringkat Kumpulan I Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Ulsan Hyundai hampir mendapat gol pembukaan seawal minit pertama menerusi gerakan Valeri Qazaishvili yang membuat umpanan kepada Leonardo Nascimento namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Bagaimanapun, juara ACL musim 2020 itu tersentak apabila tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan hasil rembatan lencong Fernando Forestieri pada minit ketiga.

Forestieri menggunakan kepakarannya melencongkan bola ke arah penjuru kiri gawang melepasi jangkauan penjaga gol, Jo Hyeon-woo untuk meletak tuan rumah di hadapan.

Pasukan kendalian Benjamin Mora itu terus bersemangat untuk mencari gol kedua dengan menggunakan kelincahan Arif Aiman Hanapi di sayap kanan namun berjaya dipatahkan pertahanan lawan.

Ulsan Hyundai berpeluang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-36 selepas bola tandukan Leonardo sekadar singgah ke tiang gol selepas menerima bola sepakan lintang Yun Il-lok ketika Haziq sudah tertewas.

Peluang terbaik JDT menambah jaringan hadir pada minit ke-42 selepas bola sepakan deras Nazmi Faiz dalam kotak penalti tatkala menerima bola lorongan Ariff Aiman berjaya di tampan Hyeon-woo.

Bersambung babak kedua, anak didik Myung-bo mula memberi tekanan kepada benteng JDT dan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-52 selepas pemain gantian, Um Wong-san merembat bola leret menewaskan Haziq berpunca daripada bola umpanan Seol Young-woo.

JDT kehilangan Haziq pada minit ke-76 selepas penjaga gol itu berlanggar dengan pemain gantian, Márk Koszta ketika cuba menghalang pemain dari Ulsan Hyundai melakukan percubaan dan Izham Tarmizi Roslan dibawa masuk bagi mengemudi gawang gol.

JDT meledak gol kedua selepas Bergson yang menerima bola umpanan Safawi Rasid bertindak melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Hyeon-woo yang sekadar melihat bola menerjah jaring dan kedudukan 2-1 kekal memihak JDT sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Guangzhou FC menjadi mangsa kenduri gol apabila dibelasah Kawasaki Frontale 8-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, petang tadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya