Harimau Selatan, Kawasaki berkongsi mata

Harimau Selatan, Kawasaki berkongsi mata

ARIF Aiman Hanapi melayangkan badan untuk menanduk bola dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menyaingi kehebatan pasukan Jepun, Kawasaki Frontale untuk berkongsi mata pada aksi Liga Juara-juara Asia (ACL) yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan kedudukan dalam Kumpulan I tidak berubah setelah skuad Harimau Selatan kekal di posisi pertama dengan tujuh mata manakala Kawasaki Frontale di kedudukan kedua dengan lima mata.

Kawasaki Frontale selaku salah satu kelab gergasi Asia dilihat tenang menguasai permainan dengan mencari ruang bagi merobek benteng pasukan JDT bagi mendapat gol awal.

Skuad bimbingan Toru Oniki hampir memecahkan kebuntuan pada minit kesembilan menerusi rembatan Leandro Damiao namun percubaan penyerang kelahiran Brazil itu dinafikan penjaga gol Farizal Marlias.

BERGSON Da Silva dikawal pertahanan Kawasaki Frontale, Shogo Taniguchi dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Juara Liga 1 Jepun (J1 League) musim lalu itu sekali lagi mendatangkan resah buat kem Harimau Selatan menerusi rembatan deras Daiya Tono yang mendapat umpanan Marco Barbosa, malangnya rembatannya sekadar melewati palang gol pada minit ke-26.

Barbosa yang lincah melakukan larian di sayap kiri melepasi kawalan pemain pertahanan bagaimanapun tidak berjaya mencari jalan bagi mengumpan bola kepada Leandro untuk membuka jaringan.

JDT tidak hanya berpeluk tubuh menerima asakan kelab Jepun malah turut mengintai peluang untuk melakukan percubaan tepat ke arah gol menerusi rembatan jarak jauh Shahrul Saad namun tidak berjaya menewaskan penjaga gol, Jung Sung-ryong pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, Kawasaki Frontale mempunyai peluang untuk mencipta jaringan hasil sepakan sudut pada minit ke-53, namun kapten, Shogo Taniguchi tidak berjaya melompat tinggi menyambut hantaran Kazuya Yamamura.

Biarpun diasak bertubi-tubi, benteng JDT tetap ampuh setelah barisan pertahanan yang diterajui Shane Lowry tidak memberi ruang buat pasukan lawan mencipta peluang gol.

MATTHEW Davies memintas pemain tengah Kawasaki Frontale, Joao Schmidt dalam aksi Liga Juara-Juara malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Pada minit ke-73, Asahi Sasaki melakukan larian solo melepasi kawalan pemain lawan sebelum melepaskan rembatan deras yang melepasi jangkauan Farizal namun sekadar menggegar tiang dan terbias keluar.

Safawi Rasid yang dibawa masuk menggantikan Arif Aiman Hanapi cuba melakukan kejutan, namun rembatannya dari luar kotak penalti jauh tersasar dan pertembungan antara kedua pasukan berakhir tanpa jaringan.

Dalam perlawanan terdahulu, pasukan Korea Selatan, Ulsan Hyundai akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan pertama setelah menewaskan kelab China, Guangzhou FC 3-0.

Kemenangan tersebut memberikan keceriaan kepada pasukan bimbingan Hong Myung Bo bagi menghidupkan peluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Mark Koszta, Park Chu Young dan Yun Illok masing-masing meledak satu gol ketika membantu pasukan untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya