LONDON: Misi Manchester United untuk memburu kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris semakin tipis selepas tumpas 3-1 kepada Arsenal di Emirates, sebentar tadi.
Jaringan Nuno Tavares, Bukayo Saka dan Granit Xhaka menghidupkan peluang Gunners untuk memburu tiket ke saingan dalam Liga Juara-Juara musim depan.
Tavares membuka jaringan tuan rumah seawal minit ketiga selepas penjaga gol United, David de Gea gagal menepis kemas tendangan Saka ekoran kesilapan benteng pertahanan.
Saka menggandakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-32 selepas dikasari pertahanan lawan.
Persembahan longgar United membayangi aksi mereka dan memberi peringatan buat bakal pengurus baharu, Erik ten Hag betapa besarnya cabaran yang menunggu.
Walaupun Cristiano Ronaldo berjaya merapatkan jurang 1-2 pada minit ke-34 selepas selepas menerima hantaran lintang Nemanja Matic, namun ia tidak banyak merubah rentak Red Devils.
United menunjukkan sedikit peningkatan pada separuh masa kedua tetapi mereka bertambah malang apabila Bruno Fernandes gagal menyempurnakan penalti selepas bola terkena tangan Tavares.
Pada minit ke-70 sepakan kencang Xhaka mengesahkan kemenangan buat Gunners.
Ketika liga berbaki lima perlawanan, Arsenal naik ke tangga keempat dengan 60 mata, tiga mata di depan pasukan tempat kelima, Tottenham.
United kekal di tangga keenam dengan 54 mata. – AGENSI