KUANTAN: Tok Gajah mahu hukuman keras dan setimpal dikenakan kepada pegawai perlawanan yang membuat keputusan membatalkan jaringan Sri Pahang ketika tumpas 1-0 kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Alor Setar kelmarin.
Menurut sumber pasukan, Sri Pahang telah menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu pengadil tersebut bukan sekadar diberi amaran kerana menyebabkan mata Tok Gajah ‘dirompak’, malah dikenakan tindakan.
Laporan Penilai Pengadil semalam mendapati beberapa kesalahan dilakukan pengadil dalam membuat keputusan, termasuk membatalkan jaringan Sri Pahang.
Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman berkata, biarpun tidak menerima aduan daripada Pahang, namun mereka melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video, dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan pegawai-pegawai perlawanan.
“Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan tersebut,” katanya.
Ketua Jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel sebelum itu merasakan pasukannya bagaikan ‘dirompak’ selepas gol mereka tidak dibenarkan.
Jaringan yang disempurnakan Johan Martial pada minit ke-80 dibatalkan pengadil, Mohd. Hasrol Amir kerana didakwa terdapat kekasaran dilakukan.
Selain Hasrol, pegawai lain yang mengendalikan perlawanan adalah Azri Rozaimie Abu Bakar (pembantu pengadil satu), N. Kesava Raj (pembantu pengadil dua) dan Abdul Halim Ramlan (pegawai keempat).
Turut mengundang kemarahan Gamel percubaan Pahang pada minit terakhir gagal dikesan pengadil walaupun sudah melepasi garisan gol. – UTUSAN