ISKANDAR PUTERI: Kemampuan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengejutkan juara dua kali, Ulsan Hyundai, Isnin lalu membuatkan gergasi Jepun, Kawasaki Frontale waspada dengan ancaman yang mampu dihadirkan Harimau Selatan apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Kumpulan I, Liga Juara-juara Asia malam ini.
Pengendali Frontale, Toru Oniki tidak rela pasukannya menerima nasib serupa dengan Ulsan selepas memulakan dua perlawanan pertama dengan satu kemenangan dan satu seri.
Jelasnya, tumpuan terarah bagi mengekang pergerakan Bergson Da Silva yang tanpa gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan sebelum ini, selain Fernando Forestieri yang licik mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.
“Setakat ini, kami belum lagi gagal mengutip sebarang mata bagi setiap perlawanan dan tidak mahu menjadi mangsa ketika berdepan pasukan tuan rumah.
“Kami sedia maklum bahawa JDT adalah pasukan yang bagus dan mempamerkan corak permainan menyerang dan banyak bergerak baik daripada bahagian sayap atau melancarkan serangan daripada bahagian tengah.

“Apa-apa pun, kami tidak mahu terjerat dengan taktikal lawan dan bermain dengan gaya permainan kami selain memberikan aksi 100 peratus di atas padang,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Kata Oniki, beliau tidak berhasrat untuk membuat perubahan ketara apabila berdepan skuad bimbingan Benjamin Mora, sebaliknya akan beraksi seperti biasa dengan corak permainan yang sama.
Pengendali pasukan pendahulu Liga Jepun itu berharap pemainnya mampu memperaga aksi konsisten dan berusaha untuk mengawal permainan biarpun berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini.
“Kami tidak mahu faktor persekitaran menjadi alasan kami gagal beraksi di tahap terbaik, jadi kami harus harungi apa jua cabaran bagi mengutip tiga mata,” katanya.
Dalam pada itu, tonggak pertahanan Frontale, Asahi Sasaki berkata, tidak ada ruang buat pasukan untuk melakukan kesilapan kerana khuatir akan dihukum JDT seperti yang dilakukan ketika menentang Ulsan Hyundai.
“Setiap gerakan berbahaya JDT harus dipatahkan dan elak daripada melakukan kesilapan kerana pasukan itu bijak mengambil kesempatan untuk menghukum lawan.
“Ini aksi pertama kami menentang JDT sebelum menamatkan pusingan pertama tetapi akan mahukan kemenangan untuk merampas kedudukan pendahu kumpulan dan akan mempamerkan aksi berintensiti tinggi,” katanya.