SKANDAR PUTERI: Gergasi bola sepak Jepun, Kawasaki Frontale mahu memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) tersungkur di gelanggang sendiri apabila kedua-dua pasukan berentap sekali lagi dalam aksi Liga Juara-juara Asia (ACL), malam ini.
Ketua jurulatihnya, Toru Oniki menegaskan, kemenangan amat penting bagi merampas kedudukan pendahulu Kumpulan I seterusnya menewaskan Ulsan Hyundai untuk mara ke pusingan seterusnya.
Katanya, beliau tidak rela pasukan yang berada di ranking No. 1 Asia itu gagal menewaskan kelab dari Asia Tenggara buat kali kedua berturut-turut.
“Sebaik sahaja tamat perlawanan tempoh hari, pemain berasa sangat kecewa gagal mengutip tiga mata setelah seri tanpa jaringan.
“Saya akan pastikan keadaan ini tidak berulang, kami perlu menang perlawanan esok dan sudah bersedia sepenuhnya bagi memastikan kemenangan berada dalam genggaman kami.

“Berada di tempat kedua dalam kumpulan tidak cukup buat kami untuk layak ke pusingan seterusnya, jadi kami wajib menang berdepan JDT dan Ulsan Hyundai seterusnya,” katanya semalam.
Pada perlawanan Khamis lalu, juara Liga 1 Jepun itu gagal merekodkan sebarang percubaan tepat ke pintu gol lawan, situasi yang tidak pernah berlaku sejak 2017 hingga memaksa pasukan berkongsi satu mata.
Toru memberitahu, menjelang pertemuan ini, jentera serangan Frontale sudah bersedia untuk beraksi lebih garang dengan menghasilkan banyak percubaan ke arah gol lawan.
“Antara masalah yang kita lalui sebelum ini ialah ketajaman di hadapan gawang lawan.
“Ini tidak boleh berulang kerana kita sangat perlukan kemenangan,” katanya.