BARCELONA: Eintracht Frankfurt melakar keputusan sensasi pada suku akhir Liga Europa apabila menyingkirkan Barcelona di Camp Nou, hari ini.
Bintang Serbia, Filip Kostic meledak dua gol, manakala Rafael Santos Borre menambah satu lagi jaringan untuk Frankfurt menundukkan Barca 3-2 seterusnya mara 4-3 secara agregat.
Turut melengkapkan tiket separuh akhir adalah West Ham United, Rangers dan RB Leipzig.
Sergio Busquets menjaringkan gol lewat sebelum Memphis Depay menyempurnakan penalti buat Barcelona, namun Eintracht bertahan dan menggembirakan kira-kira 30,000 penyokong Jerman di sana.
Mereka mara ke separuh akhir Liga Europa buat kali kedua dalam empat musim selepas kalah kepada Chelsea pada peringkat sama pada 2019.
“Saya tidak mampu berkata-kita. Tiada siapa menjangkakan ini jika anda jujur. Semua orang menjangkakan kami akan menderita,” kata penjaga gol Frankfurt, Kevin Trapp.
Kebangkitan Barcelona di bawah kendalian Xavi Hernandez memang menakjubkan tetapi kekalahan ini bermakna mereka hanya menang sekali di laman sendiri musim ini di Eropah dan kempen mereka dijangka berakhir tanpa sebarang piala.
“Ia satu ancaman besar buat kami. Mereka memang layak mara,” akui Xavi. – AFP