MANCHESTER: Manchester City meraih kelebihan tipis dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara selepas gol minit ke-70 Kevin De Bruyne membolehkan mereka menang 1-0 ke atas Atletico Madrid di Stadium Etihad hari ini.
City berdepan kesukaran untuk menembusi benteng Atletico yang jelas datang England hanya dengan tujuan menggagalkan percubaan skuad bimbingan Pep Guardiola.
Anak-anak buah Diego Simeone bermain secara bertahan dalam sebahagian besar permainan dan hanya sesekali melancarkan serangan balas.
Biarpun menguasai permainan, namun City gagal menghasilkan lebih banyak gol untuk dijadikan bekalan apabila bertandang ke Madrid, Khamis depan.
Aymeric Laporte mempunyai peluang terbaik selepas rehat tetapi tandukan pemain pertahanan itu hasil sepakan sudut tersasar.
De Bruyne yang memecah kebuntuan, 20 minit sebelum tamat permainan mengakui amat sukar untuk membolosi benteng lawan yang berkampung di kawasan sendiri.
“Ia sangat sukar. Mereka bermain dengan hampir lima pemain di belakang dan lima di bahagian tengah.
“Kami perlu kekal tenang dan jangan terikut-ikut rentak mereka dalam perlawanan kedua nanti.
“Itu cara mereka bermain. Saya menjangkakan perlawanan hampir sama di Madrid nanti.
“Jika Atletico mahu perlawanan sengit mereka perlu menyerang lebih sedikit,” kata De Bruyne. – AGENSI