City menang pertarungan sengit di Etihad

City menang pertarungan sengit di Etihad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester City membawa bekalan tipis ke separuh akhir kedua Liga Juara-Juara minggu depan selepas menang 4-3 ke atas juara 13 kali, Real Madrid dalam aksi pertama yang berlangsung sengit di Stadium Etihad, hari ini.

Tandukan Kevin de Bruyne hanya selepas 94 saat meletakkan City di depan, iaitu gol terpantas dalam separuh akhir kejohanan elit Eropah itu.

Skuad kendalian Pep Guardiola menggandakan kedudukan pada minit ke-11 menerusi Gabriel Jesus selepas pemain Brazil itu menerima hantaran De Bruyne dan berpusing dari David Alaba sebelum melakukan rembatan.

Real merapatkan jurang 1-2 pada minit ke-33, berterima kasih kepada Karim Benzema yang menyudahkan hantaran lintang Ferland Mendy.

Lapan minit selepas babak kedua bersambung, City kembali mengatasi Real dengan defisit dua gol apabila pemain gantian, Fernandinho melakukan hantaran untuk disempurnakan oleh Phil Foden.

Dua minit kemudian, Fernandinho gagal mengawal rakan senegaranya, Vinicius Jr yang berjaya melepaskan diri di garisan tepi lalu memecut ke kawasan lawan sebelum menendang bola melepasi Ederson untuk menjadikan kedudukan 3-2.

City sekali lagi menembusi gawang Real apabila Bernardo Silva menewaskan Thibaut Courtois dengan rembatan ke penjuru atas pada minit ke-74.

Begitupun drama di Etihad berterusan menuju ke hujung permainan apabila pemain City, Aymeric Laporte dihukum selepas bola terkena lengannya dalam kotak penalti.

KARIM Benzema menyempurnakan sepakan penalti.

Benzema menyempurnakan sepakan penalti ketika perlawanan berbaki lapan minit untuk ditamatkan.

Kedua-dua pasukan akan berentap pada separuh akhir kedua di Santiago Bernabeu, Khamis depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN