MADRID: Manchester City melepasi aksi tegang dan mencemaskan di Atletico Madrid untuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut sebentar tadi.
Gol tunggal Kevin De Bruyne di Manchester minggu lalu memadai untuk membawa anak-anak buah Pep Guardiola menempah pertemuan dengan Real Madrid menerusi agregat 1-0 selepas suku akhir kedua berakhir tanpa jaringan.
Aksi ‘panas’ di Stadium Wanda Metropolitano bagaimanapun menyaksikan De Bruyne terpaksa dibawa keluar akibat kecederaan serius, malah keadaan pertahanan City, Kyle Walker juga kelihatan tidak bagus.

Kemuncak aksi tegang kedua-dua pasukan berlaku pada waktu kecederaan apabila pemain tuan rumah, Felipe dilayangkan kad merah kerana mengasari Phil Foden, yang sudahpun berbalut di kepala gara-gara dikasari Felipe sebelum itu.
Insiden itu mencetuskan pergaduhan di antara pemain Atletico dan City, dan ia amat merugikan buat tuan rumah kerana menjejaskan momentum mereka dalam usaha mencari gol kemenangan.
Diego Simeone yang dikritik kerana menggunakan taktik bertahan dalam perlawanan pertama melakukan pertukaran kecil di laman sendiri.

Atletico bagaimanapun tidak dapat mencari gol yang diperlukan biarpun melakukan beberapa percubaan bahaya.
Dengan kain rentang ‘kebanggaan, keghairahan, perasaan’ dipasang di seluruh stadium, Atletico mempamerkan aksi penuh bersemangat di awal permainan, memaksa City berhempas pulas mengekang asakan lawan.
Tuan rumah juga bermain dengan amat agresif, bermula dengan kekasaran Felipe ke atas Foden sehingga kepada rempuhan yang dilakukan Stefan Savic terhadap Ilkay Gundogan.

Walker pula beberapa kali terpaksa mengeluarkan bola daripada permainan, di bawah tekanan yang diberikan Atletico.
City bagaimanapun terselamat daripada serangan di atas padang dan secara fizikal yang dilakukan tuan rumah sehingga tamat 90 minit permainan. – AGENSI