MANCHESTER: Pep Guardiola menegaskan, sebarang kesilapan akan menyebabkan Manchester City terlepas kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas pasukannya melakar kemenangan kritikal 3-0 ke atas Brighton hari ini.
Selepas gagal menembusi benteng lawan sepanjang 45 minit babak pertama, gol Riyad Mahrez, Phil Foden dan Bernardo Silva pada separuh masa kedua membantu City merampas kembali kedudukan pendahulu daripada Liverpool.
Ketika liga berbaki enam perlawanan, juara bertahan itu mengawal nasib mereka sendiri tetapi dengan Liverpool mengekori rapat menerusi satu mata, Guardiola berkata, tiada ruang kesilapan buat pasukannya.

“Ada enam perlawanan lagi dan jika kami memenangi semuanya, kami adalah juara. Jika kami tidak memenangi semua perlawanan, Liverpool akan menjadi juara.
“Ia berlaku tiga tahun lalu apabila kami melakar 14 kemenangan berturut-turut untuk menjadi juara.
“Liverpool akan memenangi semua perlawanan mereka dan semua pemain dapat merasakannya. Kami bersaing dengan salah satu pasukan terbaik yang pernah ada,” kata pengurus City itu.
Kevin De Bruyne yang kembali dalam kesebelasan utama selepas bermula dari bangku simpanan ketika City kalah kepada Liverpool pada separuh akhir Piala FA, Sabtu lalu menjadi inspirasi pasukannya.
Perancang utama Belgium itu mencipta gerakan untuk gol pembukaan City yang disempurnakan Mahrez pada minit ke-53.
Dia juga melakukan umpanan untuk gol ketiga Silva di minit ke-82. Terdahulu, Foden meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-65.
City akan menerima kunjungan Watford, Sabtu ini. – AGENSI