LONDON: Chelsea bagaikan ‘tidak bernyawa’ ketika kalah 1-3 kepada Real Madrid pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara semalam, kata pengendali Blues, Thomas Tuchel.
Hatrik penyerang sensasi Los Blancos, Karim Benzema mendedahkan kelemahan benteng tuan rumah, malah menyempitkan peluang Blues untuk mempertahankan kejuaraan kerana mereka perlu mempamer kebangkitan luar biasa di Madrid dalam aksi timbal balik, Rabu depan.
Ini kekalahan kedua berturut-turut buat kelab London itu dalam tempoh lima hari selepas dimalukan Brentford 1-4, juga di laman sendiri dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
“Kami perlu mencari diri kami semula, saya tidak tahu di mana kami berada sejak kembali daripada rehat antarabangsa. Malam ini ibarat ulangan pertemuan dengan Brentford.
“Lima hari, tujuh gol dibolosi, ia membimbangkan dan satu amaran,” ujar Tuchel.

Katanya, Blues jauh daripada tahap sebenar, secara taktikal mahupun individu, malah satu kesilapan besar telah membunuh permainan.
Dua tandukan Benzema dalam tempoh tiga minit babak pertama menghukum Chelsea, sekali gus membolehkan juara 13 kali, Real membalas dendam atas kekalahan kepada pasukan itu musim lalu.
Kai Havertz menghidupkan peluang tuan rumah dengan merapatkan jurang 1-2 pada minit ke-40, namun kesilapan penjaga gol, Edouard Mendy mengosongkan gawang ketika cuba melakukan hantaran kepada Antonio Rudiger dihukum oleh Benzema yang melengkapkan hatriknya hanya seminit selepas separuh masa kedua bersambung.
Jika Chelsea ingin kembali bangkit dari prestasi sebenar dan mengembalikan keyakinan penyokong, Tuchel percaya perlawanan menentang Southampton dalam Liga Perdana esok menjadi keutamaan.
“Kami perlu bersiap sedia untuk menentang Southampton dan bukannya perlawanan timbal balik di Bernabeu.
“Jika kami terus bermain seperti ini, kami tidak akan mendapat mata (di Southampton). Saya lebih bimbang tentang Southampton daripada Real Madrid,” katanya. – AGENSI