AMSTERDAM: Tandukan lewat minit Darwin Nunez membawa Benfica ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2016 selepas mengejutkan Ajax 1-0 di Amsterdam hari ini.
Kemenangan itu membolehkan kelab Portugal tersebut mara secara agregat 3-2 pada pusingan 16 akhir.
Selepas seri 2-2 pada peringkat pertama di Lisbon, Ajax yang dibimbing Erik ten Hag menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan di Johan Cruijff Arena.
Ajax menguasai perlawanan di depan penyokong sendiri, bagaimanapun tandukan Nunez pada minit ke-77 memusnahkan harapan mereka untuk meneruskan kemaraan.

Benfica kini perlu menunggu sehingga Jumaat ini untuk mengetahui siapa lawan mereka pada peringkat lapan terbaik yang akan berlangsung secara timbal balik pada awal April.
Ajax memperoleh beberapa peluang terbaik untuk membuka jaringan, terutama menerusi percubaan Sebastien Haller pada minit ketujuh tetapi dikecewakan oleh bendera ofsaid ke atas Dusan Tadic.
Antony turut menguji penjaga gol Benfica, Odisseas Vlachodimos, manakala Ryan Gravenberch mendapati percubaannya ditepis keluar sebelum rehat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Tadic melancarkan serangan ke kubu pasukan pelawat dan Antony menanduk bola yang tersasar di penjuru kiri pintu gol lawan.
Ketika permainan berbaki 13 minit untuk ditamatkan, Nunez menyambut sepakan bebas Alex Grimaldo dari sayap kanan untuk menanduk bola menumpaskan penjaga gol tuan rumah, Andre Onana. – AGENSI