Skuasy Terbuka Britain: Semua wakil Malaysia kandas di pusingan kedua

Skuasy Terbuka Britain: Semua wakil Malaysia kandas di pusingan kedua

S. Sivasangari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cabaran Malaysia pada kejohanan skuasy Terbuka Britain di Hull, England berakhir semalam selepas percubaan kesemua wakil negara untuk mara ke peringkat seterusnya tersekat di pusingan kedua apabila tumpas kepada lawan masing-masing.

Pemain No. 23 dunia, S. Sivasangari yang turun beraksi menentang pilihan pertama kejohanan, Nouran Gohar dari Mesir berusaha memberikan tentangan sengit sebelum tunduk 3-11, 11-7, 5-11, 7-11 dalam masa 35 minit.

Nouran yang merupakan pemain No. 2 dunia bukanlah lawan buat Sivasangari walaupun pemain negara berusia 23 tahun itu berusaha memanfaatkan kesempatan dalam aksi lambat panas yang ditampilkan pemenang Terbuka Britain pada 2019 itu.

Nouran yang bakal merampas kedudukan No. 1 dunia daripada rakan senegara, Nour El Sherbini pada 1 April ini berkata, venue di Universiti Hull itu merupakan antara gelanggang kegemarannya dan berasa selesa bermain di situ.

“Siva bermain dengan sangat baik dan usaha tersebut sudah mula dapat dilihat pada awal permainan lagi. Apa yang pasti bukan mudah sebenarnya, bagaimanapun, saya berjaya mencari jalan untuk mencatat kemenangan.

“Fizikal saya juga berada dalam keadaan terbaik. Sejak Windy City, saya perlu mengharungi jadual padat pertandingan termasuk kejohanan di Black Ball serta kejuaraan kebangsaan dan sekarang, saya di sini pula.

LANGKAH Aifa Azman turut tersekat selepas kalah 6-11, 8-11, 6-11 kepada Sabrina Sobhy.

“Saya gembira dengan ketahanan tubuh saya dan berharap dapat mara sehingga ke hujung pertandingan,” katanya kepada laman web Squashsite.

Nouran akan bertemu Sabrina Sobhy pada pusingan ketiga selepas wakil Amerika Syarikat itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan seorang lagi pemain Malaysia, Aifa Azman 6-11, 8-11, 6-11 hanya dalam masa 24 minit.

Turut mengiringi Aifa pulang awal ke tanah air adalah pemain No. 31 dunia, Rachel Arnold yang tewas mudah di tangan Nele Gilis dari Belgium yang menghuni ranking ke-13 dunia, 2-11, 4-11, 2-11.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, wakil tunggal negara, pemain No. 18 dunia, Ng Eain Yow juga terkandas di pusingan kedua setelah tumpas kepada pilihan kelima, Tarek Momen dari Mesir 7-11, 8-11, 9-11 dalam masa 37 minit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya